Biarlah nama suram, tiada cerita panas – Sophia Albarakbah

PERNAH dihimpit kontroversi, pelakon Sophia Albarakbah lega apabila namanya kini lebih dikenali menerusi hasil lakonan, bukan kisah peribadi yang tiada kaitan dengan kerjaya seni.

Sophia atau nama lengkapnya, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 33, berkata, dia mahu penonton menilai dirinya berdasarkan naskhah drama dan filem yang merupakan fokus utamanya.

“Saya lebih suka orang mengenali saya melalui watak dalam drama mahupun filem yang saya bawakan. Satu kepuasan kalau orang bercakap fasal karakter yang kita galas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Biarlah dikata nama suram atau sebagainya semata-mata tiada cerita panas, janji memang kita aktif bekerja selain sengaja elak benda (gosip) tak perlu.

“Saya tidak gemar apabila orang kenal saya melalui hal yang kurang elok dan tidak betul. Jadi saya lebih selesa begini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 X Cuckootopia, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, selepas hampir setahun bertungkus-lumus di set penggambaran, Sophia mengambil peluang berehat selama sebulan bagi melepaskan lelah.

Malah katanya, pada masa sama dia memanfaatkan tempoh bercuti bagi merangka perniagaan baharu, selain memperuntukkan masa dengan keluarga sebelum kembali ke set penggambaran minggu depan.

“Apabila kita sibuk menjalani penggambaran, memang jarang ada masa terluang untuk keluarga. Jadi, saya nak berehat sambil luangkan masa bersama mereka dan pasang strategi bisnes.

Saya perlu pandai membahagikan masa bagi memastikan kerjaya lakonan serta minat dalam bidang perniagaan dapat bergerak seiring.

“Bagus juga kalau kita ada lebih daripada satu sumber pendapatan. Saya minat berlakon dan berniaga, tidak salah mengejar kedua-duanya. Insya-Allah, tahun depan bisnes dilancarkan, cuma belum boleh umumkan lagi produk,” ujarnya.

Tambah Sophia lagi, tempoh berehat panjang penting buat pelakon bagi mengelakkan keletihan melampau, terutama selepas berbulan-bulan terikat dengan jadual penggambaran.

Mengulas lanjut, Sophia memaklumkan minat terhadap dunia perniagaan bukan perkara baharu apabila dia pernah menjual tudung di bazar Ramadan tahun lalu.

Meskipun belum mendapatkan khidmat penasihat profesional, pelakon drama Bisik Asmara itu mengambil pandangan daripada ahli keluarga yang mempunyai pengalaman dalam bisnes. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok