‘Usah layan provokasi, biar mereka dengan bayang-bayang sendiri’

BERDEPAN provokasi berterusan dari seberang, pelakon Kamal Adli menyeru rakyat Malaysia agar jangan cepat melatah dengan terjebak dalam ‘perang’ media sosial.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berharap rakyat Malaysia tidak terikut-ikut budaya kecam-mengecam yang hanya menyemarakkan api permusuhan hingga maruah negara menjadi taruhan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia sudah suarakan apa yang sepatutnya. Tiba masanya kita bertenang, jadi saya rasa kita patut hentikan provokasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biar mereka dengan bayang-bayang sendiri. Cukuplah. ‘Level’ (tahap) kita bukan macam ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert Cuckootopia dan AMT2026.

Kamal turut meminta orang ramai agar memberikan perhatian kepada isu lebih penting termasuk masalah jerebu yang semakin membimbangkan.

“Kita tak perlu sampai menghina pemimpin atau rakyat mereka. Kita pun ada berkawan dengan rakyat mereka di sini dan ada yang bekerja bersama-sama.

Mereka yang berterusan mencari keburukan negara kita, biarkan sahaja. Tak perlu dilayan. Lebih baik kita fokus kepada isu jerebu yang semakin teruk,” ujarnya.

Pada sama sama, hos program Melodi itu menyifatkan tindakan seorang pelakon Indonesia mencetuskan polemik menerusi kenyataannya di media sosial sebagai tidak profesional.

Saya rasa tak eloklah benda ini sebab dia boleh mempengaruhi orang lain (terus bertelagah). Apa dia cakap itu orang dengar dan benda akan bertambah buruk.

“Pada asalnya hanya fasal sukan bola sepak. Bila sudah habis, habislah. Tak payahlah kita nak terbawa-bawa lagi ketegangan itu,” ujarnya.

Menurut Kamal, hal berkenaan tidak seharusnya diperbesar-besarkan sehingga mengheret rakyat kedua-dua negara ke kancah persengketaan yang tiada kesudahan.

Saya rasa dia tak profesional. Saya tahu dia ‘koyak’ sebenarnya. Tapi kita tak payah nak ‘koyak’ dan tak perlu balas.

“Kita cuma fokus jaga anak-anak dan keluarga daripada pentingkan isu yang dicetuskan individu tertentu ini,” katanya.

Tambahnya, dia tidak mengenali pelakon terbabit secara peribadi dan memuji sikap selebriti Malaysia yang mengambil tindakan wajar tidak mengutuk negara lain.

Saya tak kenal siapa dia tetapi kalau tengok dari Malaysia, mana ada artis atau selebriti yang beria-ia kutuk negara orang. Tiada pun.

“Tak perlu campur hal-hal begini. Pada mulanya cuma fasal bola dan kemudian fasal sebuah jenama. Tak payahlah begitu,” ujarnya.

Terdahulu, seorang artis Indonesia mengulas gerakan boikot rakyat Malaysia terhadap sebuah jenama produk penjagaan diri menerusi satu video yang tular.

Dalam video tersebut, aktor berkenaan membandingkan jumlah penduduk Indonesia yang lebih ramai berbanding Malaysia sebelum mendakwa tindakan boikot itu tidak akan memberikan impak besar kepada jenama terbabit.

Malah individu terbabit turut membangkitkan soal sejarah dengan mendakwa Malaysia tidak akan wujud tanpa Indonesia, sekali gus mencetuskan reaksi dalam kalangan pengguna media sosial tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok