Bukan calang-calang! 5 bintang Korea ini takluk Hollywood

INDUSTRI hiburan Korea Selatan kini bukan sahaja mendominasi rantau Asia, malah pesona dan bakat luar biasa pelakunya berjaya memikat hati peminat di peringkat global.

Keupayaan mereka menguasai bahasa asing serta disiplin kerja yang tinggi membuka laluan luas untuk beraksi di pentas perfileman antarabangsa, khususnya Hollywood.

Berikut merupakan senarai lima selebriti popular Korea Selatan yang berjaya bukan sekadar jaguh kampung, namun berjaya di peringkat dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lee Byung-hun

DIKENALI sebagai antara aktor paling versatil di Asia, Lee Byung- hun bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, malah turut menguasai bahasa Perancis dengan baik.

Kelebihan fasih pelbagai bahasa membantu lelaki berusia 56 tahun itu menembusi pasaran antarabangsa dengan membawakan watak ikonik Storm Shadow dalam siri filem popular G.I. Joe.

Tidak berhenti di situ, kerjaya Hollywood Lee Byung Hun terus bersinar apabila dia membintangi pelbagai filem besar termasuk Terminator Genisys, Misconduct, The Magnificent Seven, The Fortress serta filem-filem emosi yang meruntun jiwa seperti Keys to the Heart.

Ma Dong-seok

PELAKON Ma Dong-seok mempunyai latar belakang antarabangsa yang menarik kerana pernah menetap di Ohio serta memegang kerakyatan Amerika Syarikat.

Meskipun memilih untuk kembali ke Korea Selatan demi fokus membangunkan kerjaya lakonannya, pelakon berusia 55 tahun itu tidak melepaskan peluang apabila pintu Hollywood terbuka buat dirinya.

Dia membuat kemunculan hebat dalam dunia filem blockbuster apabila menyertai francais popular, Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi watak Gilgamesh dalam filem Eternals.

Rain

 

PENYANYI Rain merupakan antara perintis awal artis Korea yang berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.

Populariti luar biasanya terbukti apabila konsert solonya di Madison Square Garden mencatat jualan tiket habis terjual (sold out).

Kejayaan besar di pentas muzik itu membuka laluan kepada pemilik nama sebenar Jung Ji-hoon itu untuk mengembangkan bakat ke layar perfileman Hollywood.

Dia membintangi beberapa filem aksi antarabangsa termasuk Speed Racer, Ninja Assassin dan The Prince.

Han Hyo-joo

AKTRES jelita Han Hyo-joo amat dikagumi peminat bukan sahaja kerana pesona wajahnya, malah bakat lakonannya yang berkualiti tinggi.

Wanita berusia 39 tahun itu melakar debut rasmi di Hollywood menerusi siri televisyen terbitan spin-off filem popular Jason Bourne, iaitu Treadstone.

Menerusi naskhah tersebut, pelakon filem The Pirates: The Last Royal Treasure itu membuktikan kebolehannya dengan melakonkan babak aksi yang mencabar serta bertutur dalam bahasa Inggeris dengan cemerlang, hasil daripada usaha keras dan komitmen luar biasa yang ditunjukkannya sepanjang penggambaran.

Park Seo-joon

AKTOR Park Seo-joon merupakan antara nama yang berjaya melebarkan sayap ke industri filem global.

Langkah kukuh Seo-joon atau nama asalnya Park Yong-kyu itu ke Hollywood terbukti apabila dipilih menyertai barisan pelakon francais hebat Marvel Universe.

Lelaki berusia 37 tahun itu membuat kemunculan istimewa dalam filem sekuel Captain Marvel, iaitu The Marvels, di samping aktres, Brie Larson.

Perkara tersebut sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai bintang antarabangsa berkaliber tinggi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok