PELAKON Che Puan Juliana Evans berkongsi berita gembira selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.55 kilogram di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, petang Sabtu.
Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 37, meluahkan rasa syukur atas kelahiran anak ketiganya yang diberi nama Tengku Ismail itu, selain berterima kasih kepada semua pihak atas ucapan serta doa diberikan buat keluarganya.
“Alhamdulillah. Kami amat bersyukur. Tengku Ismail telah selamat dilahirkan. Terima kasih atas semua ucapan,” katanya ringkas dalam Threads.
Pelakon itu turut berkongsi sekeping gambar bersama bayi lelakinya sekali gus mengundang perhatian peminat.
“Wah comelnya, selamat berpantang, baru melahirkan pun tetap cantik.
“Nama yang sangat baik, Ismail. Seronoknya ada anak kecil, moga membesar jadi anak yang soleh,” antara komen netizen.
Terdahulu, pada Jun lalu, Juliana mengumumkan berita kehamilan anak ketiganya sebelum berkongsi keterujaan bakal menyambut kelahiran seorang bayi lelaki.
Untuk rekod, aktres berdarah campuran Melayu, Britain dan Amerika Syarikat itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan juga kerabat Diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 30 April 2017.
Hasil perkongsian itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 7, dan Tengku Saidatul Ihsan Zabedah Fauziah Putri, 3 tahun. – HIBGLAM

