Amir Raja Lawak rayu orang ramai sokong perniagaannya

MESKIPUN masih dirawat di hospital, pelawak Amir Raja Lawak menyeru orang ramai untuk menyokong perniagaan gerai ayam goreng miliknya di Kelantan.

Ujar Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, sokongan dan kehadiran pelanggan ke gerainya amat diharapkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan sekali gus membolehkannya melunaskan pembayaran gaji pekerja.

“Assalamualaikum, terima kasih yang mana mendoakan. Kepada yang mana ada di Kota Bharu, tolonglah singgah dan ‘support’ (sokong) kedai ayam goreng saya di Medan Selera Stadium Kota Bharu sebab kedai buka sahaja setiap hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau awak semua datang beli boleh ‘settle’ (selesaikan) bayar gaji pekerja.

“Kedai tak boleh tutup, kalau kedai tutup gaji staff tak jalan. Kasihan mereka nanti. Singgahlah beli ayam goreng,” katanya dalam hantaran Facebook.

Dalam masa sama, pelakon filem Drogba & Rooney itu memaklumkan bakal mempromosikan perniagaannya sebaik sahaja tahap kesihatannya kembali pulih.

Dia juga sempat menitipkan ucapan terima kasih buat sesiapa yang mendoakan kesejahteraan buatnya.

“Kalau saya sihat bolehlah saya ‘promote’ buat live (siaran langsung).

“Terima kasih yang ambil berat, yang mendoakan dan jaga diri, jaga kesihatan semua,” ujarnya.

Bagaimanapun, Amir tidak memperincikan keadaan terkini kesihatannya selepas beberapa hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan bergantung pada alat bantuan pernafasan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok