‘Gurauan nak parang selesai’ – Mierul Aiman maafkan, anggap peringatan

PELAKON Harapan Festival Filem Malaysia ke-35, Mierul Aiman menganggap isu gurauan kasar berbaur ugutan seorang individu yang mahu menyerangnya menggunakan senjata tajam baru-baru ini selesai selepas  satu permohonan maaf secara peribadi antara  mereka.

Mierul atau nama lengkap Muhammad Amirul Aiman Norazman berkata, dia mengakui agak terkejut dengan kenyataan tersebut lebih-lebih lagi apabila perkara sebegitu terlebih dahulu diketahui oleh ibunya.

“Awalnya saya memang terkejut, namun tidak berpanjangan sehinggalah saya dapat tahu ibu saya mengetahuinya lebih awal daripada saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila melibatkan kerisauan dan kegusaran daripada pihak ibu bapa serta keluarga, saya rasa seperti sudah melakukan satu kesalahan kepada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan tindakan kami,” katanya ketika ditemui pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35, malam tadi.

Mengulas lanjut, bintang filem Kudrat 1968 itu turut mengambil keputusan untuk tampil memohon maaf sekiranya ada melakukan sebarang kekhilafan sepanjang berlangsungnya siri jelajah karya berkenaan.

“Jadi, saya membuat keputusan untuk tampil memohon maaf atas sebarang kesalahan yang mungkin telah dilakukan sepanjang Jelajah Kudrat 1968.

Alhamdulillah, pihak yang mengeluarkan kenyataan mengenai parang itu sendiri sudah meminta maaf kepada saya dan saya tahu perkata tersebut dibuat dengan ikhlas serta jujur.

“Dia menyangka perkara itu sekadar gurauan sahaja, namun pada hakikatnya, semuanya merupakan satu gurauan yang sangat kasar dan melampaui batas,” katanya lagi.

Menurut Mierul, dia menerima permohonan maaf daripada indivitu terbabit menerusi mesej yang dihantar dalam media sosial (DM) tu secara terbuka selepas berbincang dengan pihak pengurusan.

“Dia menghantar permohonan maaf itu melalui mesej langsung kepada saya sebelum saya berkongsi perkara tersebut bersama pihak pengurusan dan Astro.

Kami bersetuju menerima permohonan maaf itu kerana dia ikhlas walaupun dia anggap perkara tersebut sekadar gurauan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mierul menegaskan tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang sebaliknya menjadikan insiden berkenaan sebagai pengajaran bersama.

“Tiada sebarang tindakan undang-undang diambil kerana bagi saya setiap isu yang dilalui boleh diselesaikan melalui proses saling menghormati dan berkasih sayang.

“Saya mengambil peristiwa ini sebagai satu peringatan buat diri sendiri dan juga kepada semua orang,” jelasnya.

Dalam masa sama, pemenang Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia ke-35 itu bersyukur kawalan keselamatan barisan pelakon Kudrat 1968 sepanjang siri jelajah di beberapa buah negeri sentiasa diberi keutamaan.

“Alhamdulillah, perjalanan saya di Selatan dan Utara bagi Jelajah Kudrat 1968 dipermudahkan urusan.

Aspek keselamatan terhadap semua pelakon amat dititikberatkan, sekali gus menganggap kes ini sudah selesai,” jelasnya.

Terdahulu, nama Mierul menjadi bualan hangat selepas seorang individu memuat naik kenyataan berbaur ancaman mahu memarangnya susulan siri Jelajah Kudrat 1968 baru-baru ini, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat dan ahli keluarganya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok