PELAKON Faezah Elai meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir netizen yang mempertikaikan peranan dan statusnya sebagai ibu tiri kepada tiga anak suaminya, Heykal Hanifah.
Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md. Elai, 44, berkata, tidak semua anak daripada keluarga yang berpisah dibesarkan oleh ibu kandung, sebaliknya ada juga yang berada di bawah jagaan bapa dan ibu tiri.
“Ini khas untuk puan-puan yang apabila bercakap atau memberikan komen, mulut pergi dahulu sebelum otak sebab otak tertinggal di jamban ketika membuang air besar. Dengar sini.
“Bukan semua orang yang bercerai, anak-anak mereka dijaga oleh ibu. Ada juga bapa yang mengambil tanggungjawab membesarkan anak dan orang yang menjaga mereka ialah ibu tiri, iaitu saya,” katanya menerusi satu hantaran video.
Pada masa sama, dia menolak tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan ibu tiri yang sering dilabel sebagai kejam dan sanggup menzalimi anak-anak yang bukan darah daging sendiri.
“Bukan semua ibu tiri ini jahat. Kalau saya jahat, tidak mungkin ibu kandung mereka datang dan menyerahkan ketiga-tiga anaknya untuk saya jaga. Faham?
“Saya yang jaga mereka, makan minum, pakaian dan persekolahan. Jadi, saya tidak perlukan pengesahan (validation) daripada sesiapa untuk memuat naik perkongsian mengenai anak-anak tiri saya. Walaupun daripada ibu kandung mereka sendiri, saya tidak perlukan pengesahan itu,” katanya lagi.
Tambahnya, ibu kandung kepada anak-anak tersebut juga tidak pernah berkecil hati dengan perkongsiannya di media sosial kerana memahami tanggungjawab yang dipikul selama ini.
Malah, dia menegaskan sudah menganggap anak-anak tirinya seperti darah daging sendiri.
“Ibu mereka pun tidak pernah berkata apa-apa atau berkecil hati kerana dia tahu sayalah yang menjaga mereka. Jadi, anda semua tidak perlulah terlalu sibuk.
“Saya sendiri tidak pernah menganggap mereka sebagai anak tiri.
“Jadi, kenapa pula anda mempersoalkan tindakan saya menulis ‘anak perempuan saya’ (my daughter)? Memang anak perempuan sayalah. Habis itu, takkan saya nak tulis bapa anda pula anak saya?” jelasnya.
Dalam pada itu, Faezah mengingatkan netizen supaya berfikiran lebih matang sebelum mengeluarkan sebarang komen, selain tidak terlalu mencampuri urusan rumah tangga orang lain.
“Kalau hendak bercakap, pastikan otak sampai dahulu sebelum mulut mula bersuara. Kalau mulut pergi dahulu, nampak sangat tidak berapa cerdik.
“Siapalah suami anda semua, dia tidak marahkah kalau anda sibuk menjaga tepi kain orang?” tegasnya.
Difahamkan, isu tersebut tercetus selepas Faezah memuat naik hantaran mengenai kejayaan anak tirinya yang dijaga sejak berusia 11 tahun, yang kini bergelar peguam.
Menerusi hantaran tersebut, dia berkongsi berita gembira itu dengan menulis bahawa anak perempuannya kini sudah bergelar peguam, sekali gus mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.
Untuk rekod, Faezah mendirikan rumah tangga bersama pengarah, Heykal Hanifah pada 9 September 2011.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Heykal mempunyai tiga orang anak, iaitu Luqman Hakim, Sarah Heyrissa dan Luq Adam Heydhani. – HIBGLAM

