Jangan sampai ada hilang nyawa, baru kita menyesal – Syatilla Melvin

PELAKON Syatilla Melvin menyeru agar mana-mana pihak yang menjadi mangsa penderaan emosi akibat sikap narsisistik pasangan agar segera berani bangkit dan tidak terus hidup dalam ketakutan.

Malah, Syatilla atau nama penuhnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berharap masyarakat sekeliling agar lebih peka serta tidak mengambil mudah isu berkaitan masalah mental tersebut.

Mangsa lelaki narsisistik, tolong bangkit dan jangan takut!

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang sekeliling, tolong ambil tahu dan buka mata tentang isu individu yang mempunyai masalah seperti ini.

“Adik-beradik dan ahli keluarga, jangan sesekali ambil mudah perkara ini,”katanya dalam Threads.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil berat keselamatan serta kebajikan ahli keluarga terdekat bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk daripada berlaku.

“Ambil berat tentang keadaan anak-anak dan ahli keluarga di sekeliling kita. Jangan biarkan mereka menanggung penderitaan seorang diri.

Jangan sampai ada yang kehilangan nyawa, barulah kita hendak menyesal. Nauzubillahiminzalik,” ujarnya lagi.

Hantaran tersebut dibuat susulan pertelingkahan adiknya, Syida Melvin dan bekas suaminya, Syafiq Azim berhubung isu kediaman yang pernah dihuni mereka ketika masih bergelar suami isteri.

Menerusi perkongsian di Threads, Syida mendakwa sudah lapan bulan meninggalkan kediaman berkenaan bersama tiga anaknya selepas tidak lagi mampu berdepan tekanan emosi dan layanan buruk daripada bekas suami.

Syida mendedahkan dia sudah hampir lapan bulan terpaksa keluar dari rumah tersebut bersama tiga cahaya mata selepas tidak sanggup menanggung tekanan emosi serta layanan buruk.

Menurutnya, usaha mendapatkan semula ruang untuk menetap di kediaman tersebut bersama anak-anak masih menemui jalan buntu walaupun beberapa surat dihantar menerusi peguam.

Terdahulu, Syida dan Syafiq sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Syida dan Syafiq yang merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr. Maznah Hamid berkahwin pada 19 Januari 2019.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok