BELUM pun ditayangkan, drama bersiri Dua Nyawa terbitan Global Station Sdn. Bhd. sudah mula mencuri perhatian.
Naskhah terbaharu itu dijadualkan menemui penonton menerusi platform penstriman iQIYI Malaysia pada 13 November 2026.
Kali ini bukan jalan cerita atau gandingan pelakon menjadi perbualan hangat, sebaliknya pemilihan watak pelakon Puteri Balqis dipersoalkan segelintir penonton.
Ada netizen berpendapat lakonan aktres itu seolah-olah berada pada tahap sama kerana sering membawakan karakter wanita teraniaya, ditindas dan diperlakukan dengan kejam.
Walaupun mengakui kemampuan lakonan Balqis, mereka berharap pelakon itu diberikan watak lebih mencabar bagi memperlihatkan sisi berbeza bakatnya.
Balqis asyik ambil watak wanita teraniaya, kenapa? Cara dia berlakon pun sama sahaja. Cara bercakap dan melontarkan skrip seakan-akan sama seperti percakapan dalam kehidupan sebenar. Dia memang pandai berlakon, tetapi untuk satu jenis watak sahaja,” komen seorang netizen.
Diva boleh memahami teguran tersebut kerana pelakon berbakat juga perlu diberi peluang keluar daripada zon selesa, namun tidak semestinya pemilihan watak berulang bermaksud seseorang itu sudah ketandusan idea.
Barangkali karakter sedemikian lebih dekat dengan jiwa Balqis atau bersesuaian dengan tawaran diterimanya.
Apapun, Diva berharap Dua Nyawa mampu memperlihatkan sisi lakonan berbeza aktres itu sekali gus membuktikan kemampuannya menggalas karakter lebih kompleks. Jangan sampai penonton boleh meneka watak Balqis sebelum drama bermula!
DIVA: Patutlah ramai berlumba-lumba mahu menjadi pempengaruh. Ada pekerjaan tetap pun belum tentu menjamin masa depan, tahu-tahu kena buang.

