DEMI anak, pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman menegaskan bahawa perpisahan bukan alasan untuk memutuskan hubungan silaturahim mahupun bermusuh dengan bekas suaminya, Mohd Razzi Abd Razak.
Menurut Norreen, 32, dia dan bekas suami mengamalkan pendekatan pengasuhan bersama (co-parenting) yang sihat agar anak-anak tidak berasa kehilangan kasih sayang kedua ibu bapa mereka.
“Kalau jumpa dan lihat kami dengan anak-beranak di luar, semua itu kerana anak masih perlukan kami.
“Walaupun bukan lagi suami isteri, tak bermakna kami langsung tidak boleh nak berjumpa bila-bila.
“Saya dan Razzi memilih mempraktikkan kehidupan sihat iaitu co-parenting dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Pengumuman Calon Anugerah Bintang Popular ke-38, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, dia juga berpendapat dendam atau bermasam muka adalah perkara sia-sia kerana boleh memberi impak terhadap anak-anak.
“Tak perlulah bermusuh atau merayu untuk berjumpa. Kalau netizen nampak kami bersama di luar, itu kerana anak dan bukan masalah mereka pun,” ujarnya.
Terdahulu, tular foto dan video Norreen bertemu dengan Razzi dalam sebuah hantaran media sosial sekali gus menjadi buah mulut ramai memandangkan mereka sudah sah bercerai.
Terdahulu, Norreen Iman atau nama penuhnya Norreen Iman Abdullah sah bercerai talak satu dengan Mohd Razzi Abd di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu. – HIBGLAM

