TEKA-TEKI penyertaan penyanyi Hafiz Suip dalam program Gegar Vaganza (GV) Fantasia akhirnya terjawab apabila dia mengesahkan terpaksa menolak tawaran menyertai pertandingan tersebut yang bermula hari ini.
Hafiz atau nama lengkapnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen kerja serta tanggungjawab terhadap isteri, Fiona Saffiyya yang kini sedang hamil tujuh bulan.
Menurut juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu, dia tidak mahu menyertai pertandingan berkenaan sekadar melepaskan batuk di tangga kerana sudah menjadi prinsipnya untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap pekerjaan.
“Apa yang saya boleh katakan, saya tahu keputusan ini mungkin mengecewakan peminat yang berharap melihat saya dalam GV Fantasia.
“Namun, saya tidak berani memberikan komitmen separuh jalan. Isteri pula sedang sarat mengandung dan kalau bekerja, saya memang akan berikan 100 peratus.
Saya bimbang keadaan sekarang akan mengganggu fokus sekiranya menyertai pertandingan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pengumuman calon Anugerah Bintang Popular di sini, semalam.
Mengulas desakan peminat dan rakan-rakan industri yang mahu melihatnya kembali berentap di pentas pertandingan, Hafiz berkata, faktor jarak kediaman di Kuching, Sarawak serta jadual latihan yang padat turut menjadi pertimbangan.
Katanya, dia bersyukur menerima tawaran tersebut, namun menyedari komitmen yang diperlukan bukan sesuatu yang mudah untuk dipenuhi dalam keadaan sekarang.
“Alhamdulillah, memang saya dapat tawaran tetapi saya minta maaf. Bukan menolak rezeki, malah kawan-kawan pun ada bertanya mengapa saya tidak menyertainya.
“Masalahnya dari segi sesi latihan. Ketika peserta lain menjalani latihan, saya pula berada di Kuching. Perkara itu akhirnya menjadi kekangan besar buat saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkongsi berita gembira apabila bakal menimang cahaya mata lelaki hasil perkahwinannya dengan Fiona.
Lebih membahagiakan, usia kandungan isterinya kini sudah memasuki tujuh bulan.
“Alhamdulillah, usia kandungan isteri sudah masuk tujuh bulan dan kami bakal dikurniakan anak lelaki.
“Lelaki lagi, tetapi apa-apa pun, paling penting anak dalam kandungan sihat dan semuanya berjalan lancar. Itu sahaja yang saya harapkan,” katanya.
Mengulas keputusan untuk terus menetap di Kuching berbanding berpindah ke Kuala Lumpur, Hafiz berkata, bapanya yang tinggal bersendirian menjadi antara sebab utama dia memilih untuk berada di kampung halaman.
Menurutnya, bapanya berada dalam keadaan sihat, namun lebih selesa menetap di Kuching kerana mempunyai banyak kenangan di sana.
“Satu lagi sebab adalah ayah saya. Dia sihat cuma tinggal seorang diri.
“Saya pernah bawa dia ke Kuala Lumpur, tetapi dia lebih selesa di sana kerana banyak memori.
Bagaimanapun, alhamdulillah keadaan ayah sekarang semakin baik. Dia juga menyibukkan diri bersama adik-beradik serta ibunya yang masih ada,” jelasnya.
Hafiz yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-38 (ABP38) sebelum ini antara nama yang disebut-sebut bakal menyertai GV Fantasia.
Edisi kali ini menghimpunkan bekas juara dan peserta program Akademi Fantasia, antaranya Mawi, Vince, Faizal, Shahir dan Mila Jirin.
Selain itu, barisan peserta turut disertai Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir. – HIBGLAM

