KEHADIRAN dua juara Akademi Fantasia (AF), Amir Masdi dan Sufie Rashid pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GV13) malam tadi mencetuskan tanda tanya apabila kedua-duanya tampil membuat persembahan.
Bagaimanapun, kemunculan mereka di pentas berkenaan sekadar memenuhi undangan pihak produksi dan bukannya sebagai peserta yang bakal bersaing merebut gelaran juara.
Meskipun tidak bertanding, persembahan kedua-dua penyanyi itu tetap mencuri perhatian apabila menerima pujian daripada juri tetap.
Malah, juri tetap, Hetty Koes Endang memberikan tepukan berdiri (standing ovation) kepada Amir selepas penyanyi itu menyampaikan lagu Nur Cinta.
Tidak ketinggalan, Datuk Ramli MS turut memuji kemampuan vokal Sufie yang disifatkannya mempunyai lontaran suara tinggi selain kedengaran maskulin.
Pada konsert pembukaan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam itu, seramai 10 peserta tampil membuat persembahan bagi merebut perhatian juri dan penonton.
Antara peserta yang berentap ialah Stacy, Mila, Vince, Faizal, Zahid, Firman dan Shahir.
Bagaimanapun, seorang lagi peserta, Mawi, menyampaikan persembahannya menerusi rakaman berikutan komitmen terhadap konsert solonya yang berlangsung pada waktu sama.
Pada penghujung konsert, pihak produksi turut mengumumkan senarai 25 bekas peserta Akademi Fantasia yang bakal merebut peluang mengisi empat kekosongan di kerusi panas (hot seats) menerusi undian penonton. – HIBGLAM

