PELAKON Ezaidi Aziz enggan bersikap memilih dalam menerima sebarang tawaran lakonan memandangkan dirinya sedar masih kerdil dan hijau bertapak dalam industri seni.
Ezaidi atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Abdul Aziz, 31, berkata, dia terbuka menerima apa sahaja jenis naskhah atau watak selagi mampu memberi impak positif kepada penonton.
“Saya ini siapa untuk jadi selektif? Orang pun tak kenal tambahan pula masih baru dalam industri.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sebab itu saya tak kisah terima tawaran berlakon dalam apa saja jenis drama asalkan naskhah itu memberi nilai dan beri pengajaran kepada penonton.
“Kalau cerita itu macam tiada benda (pengajaran), mungkin saya tak terima,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-38 di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, berjaya tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular ABP38, Ezaidi menganggapnya sebagai pengiktirafan dalam kamus kerjaya seni.
Dia bahkan memberitahu pencalonan tersebut juga turut menepis kata-kata negatif segelintir pihak mengenai populariti dirinya kerana dilihat kurang menyerlah berbanding rakan seperjuangan lain.
“Dapat tercalon pun saya rasa syukur dan tak terfikir pun cuma mungkin ini rezeki yang Allah SWT sudah susun ketika umur 31 tahun.
“Cuma ada juga dengar perkataan-perkataan yang membuatkan saya terkesan sebelum ini sepanjang jadi pelakon seperti orang cakap yang saya tak boleh bawa watak berat dan kurang popular.
“Tapi semua itu tak mematahkan semangat pun malah membuat saya mahu beri lebih baik selepas ini,” katanya lagi. – HIBGLAM

