SEMAKIN lantang selepas bercerai, penyanyi Kaka Azraff menegaskan wanita tidak seharusnya terus terperangkap dalam kepercayaan lama sehingga takut bersuara, sebaliknya perlu berani mempertahankan hak serta membina semula keyakinan diri.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata, perkongsian mengenai isu hubungan toksik dan sikap segelintir lelaki bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memberikan kekuatan kepada wanita berdepan pengalaman serupa.
“Sebagai wanita, kita perlu berani bersuara. Kita sudah terlalu lama dididik dengan pemikiran kononnya perempuan mesti berkelakuan begini atau begitu. Hakikatnya, kita berhak menilai keadaan dan menolak perkara tidak sepatutnya.
“Apabila mula bersuara, kita sebenarnya sedang berusaha mendapatkan semula keyakinan serta kepercayaan terhadap diri sendiri. Saya berkongsi bukan untuk diri saya sahaja, tetapi juga wanita lain pernah melalui pengalaman atau sedang bergelut dengan perasaan sama.
“Tidak semestinya semua perkara buruk berlaku dalam hidup kita berpunca daripada kesalahan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas keputusan untuk lebih terbuka berkongsi pandangan mengenai isu berkenaan, pelantun lagu Sibuk itu mengakui dirinya sendiri masih mencari cara terbaik untuk meluahkan perkara terbuku di hati.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu sama ada sudah tiba masanya untuk bersuara atau belum tapi saya rasa kita perlu meluahkan sesuatu untuk mencari semula suara sendiri. Apabila mula bersuara, barulah kita dapat menemukan kembali bahagian diri sudah lama hilang.
“Bagi saya, ini satu langkah untuk mendapatkan semula diri sendiri selepas sekian lama terasa seperti meninggalkannya. Pada masa sama, saya juga sedang mempromosikan lagu terbaharu, Lepaskan.
“Kita perlu belajar melepaskan kemarahan dan kesakitan dipendam terlalu lama supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa terus memikul beban emosi,” ujarnya.
Ditanya sama ada menerima serangan peribadi atau mesej berbaur kecaman susulan perkongsian mengenai lelaki toksik, Kaka bersyukur kerana setakat ini tidak berdepan perkara sedemikian.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menerima serangan peribadi. Saya rasa apa dikongsikan itu berdasarkan perkara benar dan realiti kehidupan.
“Kalau ada pihak mahu menyerang saya kerana perkara tersebut, mungkin mereka sendiri perlu bertanya kepada diri masing-masing mengapa terasa. Saya tidak berniat mencari gaduh dengan sesiapa,” jelasnya.
Bercakap mengenai cadangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memperkenalkan mekanisme semakan berkaitan tanggungjawab nafkah bagi membantu melindungi hak isteri dan anak-anak, ibu kepada tiga cahaya mata itu menyokong sepenuhnya usaha berkenaan.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan itu. Ramai wanita terperangkap dalam keadaan sebegini kerana mereka tidak sanggup meninggalkan anak-anak. Akhirnya, mereka memilih untuk berkorban dan menanggung beban demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
“Namun, keadaan seperti ini perlu dihentikan jika kita mahu melihat negara terus maju. Kalau wanita masih ditindas dan hak mereka diabaikan, bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan?
“Saya menyokong usaha tersebut kerana sudah terlalu lama kita mendengar kisah wanita berulang-alik ke mahkamah untuk menuntut hak, tetapi masalah nafkah masih berlarutan. Mungkin sudah tiba masanya pendekatan lain diambil bagi mempertahankan hak ibu tunggal serta anak-anak terabai,” tegasnya.
Sebelum ini, Kaka kerap berkongsi pandangan mengenai sikap lelaki toksik menerusi media sosial.
Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai, malah ruangan komen turut dibanjiri pengguna mengakui pernah melalui pengalaman hampir sama. – HIBGLAM.

