PELAKON Diana Danielle meluahkan rasa terkilan apabila nama segelintir pelakon sering dijadikan ‘umpan’ oleh sesetengah syarikat produksi bagi meraih tajaan untuk penggambaran tanpa pengetahuannya.
Diana, 33, berkata, pihak produksi tersebut sanggup mengambil kesempatan menggunakan pengaruh pelakon terlibat demi mendapatkan penajaan pelbagai keperluan termasuk makanan dan lokasi.
“Guna nama pelakon untuk dapat ‘sponsor’ dari lokasi hingga ke makanan.
“Lepas itu, setiap kali datang ke set, saya kena rakam video dan ambil gambar untuk ucap terima kasih kepada pihak penaja,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Dia berkata demikian selepas membalas satu hantaran Threads yang mempersoal segelintir syarikat produksi didakwa menagih tajaan makanan dan minuman untuk kru produksi untuk sesebuah drama atau filem.
Lebih mengecewakan, bintang filem Imaginur itu mendakwa dirinya sering dituduh bersikap kekwat sekiranya enggan melayan permintaan yang tidak ada dalam kontrak kerjanya.
“Kalau tak nak buat, saya pula yang dikatakan diva.
“Satu kerja pula aku, sedangkan mereka yang jimat bajet,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, dia juga mendedahkan bahawa tidak mengetahu mengenai helah pihak produksi terbabit sehinggalah sesi penggambaran bermula.
“Paling menarik, saya langsung tidak tahu mereka ‘menjual’ nama saya sehinggalah penggambaran bermula.
“Kemudian, semua itu bertukar menjadi rutin harian,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Diana menjelaskan bahawa situasi berkenaan hanya melibatkan segelintir syarikat produksi dan bukannya keseluruhan penggiat industri seni.
“Tetapi ini hanya melibatkan sesetengah produksi, bukan semua.
“Ada juga yang bertanya terlebih dahulu sama ada saya boleh bantu kerana kekangan bajet dan saya selalunya saya okey,” ujarnya.
Terdahulu, kecoh dalam media sosial apabila seorang pengarah didakwa meminta tajaan makanan dan minuman untuk pelakon dan kru produksi bagi sebuah filem terbaharu yang menjalankan penggambaran di negeri Pantai Timur. – HIBGLAM

