PENANTIAN selama enam tahun mengerah keringat dalam industri hiburan tanah air akhirnya membuahkan hasil manis buat pelakon Akmal Asyraf apabila bakatnya mula mendapat perhatian ramai menerusi drama dan filem Kudrat 1968: High Council.
Populariti aktor berusia 30 tahun itu melonjak mendadak sehingga namanya menjadi bualan hangat dalam media sosial sekali gus membuka lembaran baharu dalam meniti perjalanan kerjaya selepas sekian lama berusaha menempa nama dalam industri.
Akmal, 30, menyifatkan perhatian yang diterima ketika ini sebagai rezeki besar yang amat disyukuri apatah lagi sudah lama menantikan peluang untuk mempersembahkan bakat dimiliki.
“Saya sudah cuba untuk menambat hati penonton sejak mula berlakon lagi sekitar enam tahun lalu tetapi sekarang baru meraih peluang itu.
Rasa bersyukur dan berterima kasih kepada yang menyokong kerana inilah detik yang saya nantikan dan akan menggunakan peluang keemasan ini sebaik mungkin,” katanya kepada HibGlam.
Meski mengakui pernah menanti namanya untuk dikenali seperti hari ini, dia bagaimanapun tidak pernah meletak harapan terlalu tinggi kerana bimbang berakhir dengan kekecewaan.
Sejujurnya, sudah tentu pernah terlintas perasaan begitu tetapi saya tidak pernah terfikir bahawa selepas sesuatu projek selesai, nama saya mungkin akan terus meletup.
“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana sedar harapan yang terlalu besar sangat membahayakan,” katanya lagi.
Mengimbas kembali permulaan pembabitannya dalam dunia seni, Akmal mendedahkan minat terhadap bidang lakonan sudah berputik sejak di bangku sekolah menerusi pementasan teater sebelum mula melebarkan sayap ke layar perak.
“Kalau bercakap mengenai penglibatan sebenar dalam dunia seni, saya sudah bermula sejak di sekolah lagi menerusi persembahan teater.
Alhamdulillah, selepas enam tahun berusaha, tahun ini barulah bakat saya benar-benar diterima masyarakat,” ujarnya yang pernah membintangi filem Tarung: Unforgiven.
Meskipun nama semakin mendapat perhatian umum, dia tidak mahu terlalu cerewet menerima tawaran yang hadir sebaliknya terbuka mencuba pelbagai watak dan genre filem atau drama.
“Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai sebarang perancangan khusus dan memilih untuk mengikut perjalanan kerjaya seperti biasa.
Ketika ini pun, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua filem yang bakal ditayangkan tahun depan. Walaupun kedua-duanya filem berskala besar, saya hanya membawa watak sokongan sahaja.
“Harapnya penerbit dan pengarah turut mendengar permintaan orang ramai dalam Threads yang mahu melihat saya berlakon dalam filem romantik atau komedi. Menarik juga untuk saya mencuba genre sebegitu, saya akan terima kalau ada tawaran,” jelasnya.
Berkongsi kegembiraan kejayaan drama dan filem Kudrat 1968: High Council yang mencetuskan fenomena luar biasa ketika ini, dia yang membawa watak Rafizi atau Piji berkata, semua itu hasil komitmen ditunjukkan seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi.
Turut terkena tempias populariti, dia mengakui penerimaan dan sambutan orang ramai di luar juga sudah berbeza.
“Sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri pada masa hadapan, namun impak watak Rafizi Rashid ini memang sangat besar terhadap kerjaya saya.
Sekarang, apabila berada di luar, memang sudah ramai yang mengenali, menyapa dan meminta untuk bergambar bersama.
“Namun, saya tetap Akmal Asyraf yang sama seperti dahulu dan tidak akan sesekali meninggi diri,” jelasnya lagi.
Malah, dia juga tidak kisah apabila segelintir penonton lebih mengenalinya sebagai Rafizi ketika ini.
“Buat masa sekarang, saya langsung tidak kisah (dikenali sebagai Piji)
“Cuma jika keadaan itu berlarutan terlalu lama, mungkin saya akan berasa sedikit terkilan kerana penonton perlu memahami bahawa watak itu hanyalah lakonan semata-mata,” katanya.
Mengulas pengajaran yang mahu disampaikan menerusi watak Piji, dia berpendapat setiap manusia mempunyai batas kesabaran dalam sesuatu hal dan boleh hilang kewarasan apabila sudah mencapai limitasinya.
“Menerusi watak Piji, kita boleh belajar bahawa setiap orang mempunyai had kesabaran masing-masing.
Setiap orang boleh hilang sabar dan mampu melakukan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran orang lain.
“Justeru, jadilah manusia yang baik terhadap semua orang kerana tidak salah untuk berbuat baik kepada sesiapa pun,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, dia memberitahu karakter Piji kontra dengan keperibadiannya, namun tetap mengambil beberapa nilai positif yang dimiliki watak tersebut.
“Setakat ini, watak tersebut tidak mengubah diri saya tetapi ada perkara baik daripada Piji yang saya ambil sebagai pengajaran.
Saya tidak mengambil watak Rafizi secara keseluruhan kerana saya sendiri tidak mahu menjadi seperti dirinya. Setiap manusia dan watak mempunyai sisi baik serta buruk masing-masing.
“Antara perkara baik saya lihat pada Piji ialah dia sangat menyayangi ibunya dan itu antara yang boleh kita terapkan dalam kehidupan seharian,” tutupnya. – HIBGLAM
Akmal bersyukur selepas enam tahun mencuba akhirnya bakatnya mula mendapat perhatian ramai termasuk para peminat. – MOHAMED IQBAL ROSLI

