‘Wan Azizah paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan’

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bakal isterinya, pelakon Bella Astillah berguru ilmu rumah tangga dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hampir dua jam dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurut Syed Saddiq, 34, dia menyifatkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu antara figura paling layak untuk memberikan nasihat mengenai rumah tangga memandangkan sudah melalui pelbagai perkara dalam hidup termasuk bidang politik.

“Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Wan Azizah.

“Kalau nak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau yang memahami selok-belok dunia politik.

“Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu. Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Katanya, Wan Azizah sememangnya layak digelar Iron Lady dan meraih penghormatan kerana memiliki sifat luar biasa sebagai seorang wanita.

“Sebab itu bagi saya, beliau ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady.’

“Saya sendiri pernah mendapat penghormatan berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet.

“Satu penghormatan dan keistimewaan yang saya akan sentiasa hargai,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Syed Saddiq mengakui tidak bertemu Wan Azizah dengan ‘tangan kosong’ sebaliknya turut menyerahkan kad undangan perkahwinannya dengan Bella yang akan berlangsung pada 10 Oktober nanti.

“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet tetapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin.

“Terima kasih Datuk Seri atas hampir dua jam nasihat, cerita dan pesanan untuk kami berdua.

“Insya-Allah, nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan,” katanya lagi.

Sebelum ini, dia memilih untuk menghantar sendiri kad jemputan perkahwinannya kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah.

Katanya, dua figura tersebut merupakan antara tetamu paling penting yang perlu hadir pada hari bahagianya.

Terdahulu, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahannya dengan Bella, 31, sudah dipersetujui kedua-dua keluarga namun mereka belum bersedia berkongsi perincian tersebut.

Pada 18 Ogos lalu pasangan itu mengumumkan majlis pernikahan mereka akan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq dan Bella, 32, dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok