PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi menolak tanggapan bahawa semua golongan selebriti senior cenderung mencari kesilapan artis generasi baharu yang kononnya tidak setanding kehebatan generasi terdahulu.
Bercakap berdasarkan pendekatan peribadi, Aznil atau mesra disapa Pak Nil, 64, sebaliknya percaya, ada sesetengahnya selesa mengambil pendekatan membimbing dan meletakkan diri sebagai seorang guru yang sentiasa berlapang dada menurunkan ilmu kepada pelapis industri penyiaran.
“Saya bukan jenis veteran yang kutuk artis baharu kononnya zaman dulu lebih hebat. Saya melihat diri saya sebagai guru.
Kadang-kadang saya DM (mesej langsung) terus artis baharu bertanyakan ‘nak belajar tak? ada benda tak betul hari itu.’
“Sweet Qismina pernah DM saya masa silap sebut dalam program Bintang Kecil RTM, dia nak belajar,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Berkongi lanjut, pelakon filem Cicakman itu mengakui landskap kerjaya seni kini jauh berbeza berbanding era kegemilangannya dahulu.
“Zaman saya dahulu cabarannya lain. Budak-budak sekarang kalau kena kritik, perlu betulkan semalaman.
Kasihan mereka baru nak belajar tapi semangat dah kena patahkan. Nanti yang tinggal pengacara tua saja, mana nak datang pengacara baru?,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pak Nil turut berkongsi kriteria penilaian yang dicari apabila menerbitkan program baharu selain tidak pernah ketinggalan menyokong penggiat kandungan digital dalam TikTok.
“Masa saya buat Malaysian Host Wanted, saya nak hos terbitkan program sendiri macam saya buat Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak.
“Bila saya jadi juri, formula nak menang senang saja, buat benda yang saya tak pernah nampak.
Saya sangat menghargai bakat baru termasuk yang buat siaran langsung dalam TikTok. Kadang-kadang saya masuk bagi hadiah singa untuk beri semangat,” jelasnya.
Selain itu, Pak Nil sentiasa terbuka berkongsi ilmu pengacaraan yang disifatkan sebagai bekalan amal jariah di dunia dan akhirat.
Saya terbuka untuk ajar ilmu asas. Ilmu asas kena kukuh selepas itu terpulang nak bawa cara sendiri.
“Selagi saya masih hidup, umur dah 64 tahun, selagi ada inilah saham akhirat saya nanti,” tuturnya.
Sebelum ini, isu kredibiliti pengacaraan sering menjadi bualan hangat ramai selepas beberapa pengacara popular seperti Daniel Cheang dan Radin Era pernah berdepan kecaman berhubung pendekatan mengendalikan sesebuah acara. – HIBGLAM

