BENCANA alam yang melanda rantau negara jiran ketika ini bukan sahaja menjejaskan soal logistik perantau yang mahu keluar dari Jakarta, malah turut meragut ketenteraman barisan selebriti Indonesia sendiri apabila masing-masing terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air.
Letusan Gunung Anak Krakatau yang memuntahkan debu volkanik tebal sehingga menyelimuti ruang udara memaksa pembatalan penerbangan secara mendadak serta penutupan operasi lapangan terbang demi faktor keselamatan.
Situasi cemas tersebut menyaksikan penerbangan sesetengah penggiat seni terpaksa berpatah balik, manakala sebahagian lagi terperangkap di luar daerah serta luar negara sementara menanti laluan udara kembali pulih.
HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti Indonesia yang turut terjejas serta berdepan detik sukar untuk kembali ke ibu kota kesayangan mereka dengan tenang.
Andien

PENYANYI Andien Aisyah berkongsi detik cemas dan mendebarkan apabila pesawat yang dinaikinya terpaksa berputar-putar di udara hampir sejam sebelum dibatalkan pendaratannya akibat ancaman abu volkanik letusan gunung berapi.
Andien mendedahkan bahawa juruterbang terpaksa membuat pusingan di udara bagi menilai keselamatan ruang udara sebelum akhirnya mengambil keputusan berpatah balik ke lapangan terbang asal di Semarang.
Situasi tersebut menyebabkan pelantun lagu Indahnya Dunia itu kini terkandas dan belum dapat kembali ke Jakarta berikutan pembatalan penerbangan berterusan demi keselamatan. Keadaan memaksa Andien menggunakan jalan darat dari Semarang untuk ke Jakarta.
Raditya Dika

PELAKON juga pengarah Raditya Dika berdepan detik cemas selepas pesawat yang dinaikinya dari Doha, Qatar terpaksa berputar balik akibat letusan Gunung Anak Krakatau.
Penerbangan yang dalam perjalanan menuju ke Jakarta itu terpaksa membatalkan pendaratan demi keselamatan selepas ruang udara di sekitar destinasi diselimuti debu gunung berapi tebal yang berisiko menjejaskan enjin pesawat.
Raditya memaklumkan bahawa pesawat yang dinaikinya terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, sekali gus menyebabkannya terkandas di negara berkenaan beberapa hari bersama penumpang yang lain.
Meskipun jadual perjalanan dan urusannya terganggu akibat insiden berkenaan, dia tetap bersyukur kerana tindakan pantas juruterbang berpatah balik memastikan keselamatan semua penumpang terjamin.
Dia turut berharap situasi ruang udara kembali pulih agar penerbangan ke tanah air dapat diteruskan dengan selamat.
Ayu Dewi

PENGACARA Ayu Dewi berdepan detik paling mencabar selepas penerbangan pulangnya dari Bangkok, Thailand ke Jakarta terganggu akibat penutupan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Soetta).
Ayu yang berada di Bangkok bagi menemani anak sulungnya menyertai sebuah pertandingan antarabangsa sepatutnya berlepas pulang pada pagi Ahad.
Namun, penerbangan asalnya dibatalkan saat akhir berikutan penutupan laluan udara berkenaan. Dia bagaimanapun mencari jalan dengan terbang ke Bali yang laluan masih dibuka ketika itu.
Setibanya di Bali, dia ke Jakarta menaiki feri merentasi laluan laut dari Pelabuhan Gilimanuk ke Ketapang, sebelum menyambung perjalanan menggunakan pengangkutan darat.
Ayu bersyukur kerana selamat tiba ke tanah air serta menyifatkan perjalanan mencabar selama 24 jam itu sebagai satu pengalaman memori berharga yang mengajarnya bererti kesabaran.
Denny Sumargo

PELAKON juga bekas pemain bola keranjang Indonesia, Denny Sumargo juga antara yang terkandas selepas penerbangannya dari Surabaya ke Jakarta dibatalkan.
Denny menjelaskan, dia terpaksa berada di Surabaya sementara menanti kepastian serta laluan alternatif untuk kembali ke ibu kota.
Di sebalik kekangan jadual kerjanya yang terjejas, dia tetap tenang mendepani situasi tersebut dan meminta peminat serta masyarakat untuk mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
Arie Untung, Fenita Arie

PASANGAN selebriti Arie Untung dan Fenita Arie menjadi antara penumpang yang terkandas di Bali ekoran gangguan laluan udara yang disebabkan letusan gunung berapi.
Penerbangan yang sepatutnya berlepas pulang ke Jakarta terpaksa dibatalkan saat akhir atas faktor keselamatan penerbangan berikutan ruang udara yang diselimuti debu gunung berapi.
Arie berkongsi suasana di lapangan terbang yang sesak dengan penumpang yang berdepan situasi penundaan serta pembatalan jadual penerbangan.
Di sebalik kesulitan tersebut, dia mengajak orang ramai untuk mengambil hikmah dan menjadikan kejadian alam berkenaan sebagai satu bentuk refleksi serta peringatan diri.
Arie turut mendoakan agar urusan semua penumpang yang terjejas dipermudahkan serta keadaan kembali pulih seperti sedalam kala.
Meninjau Instagram Fenita, mereka sekeluarga menaiki kereta api untuk pulang ke jakarta. – HIBGLAM
