PELAKON Josiah Hogan meluahkan rasa kesal apabila terdapat segelintir penggiat seni seolah-olah kurang menghargai artis veteran, meskipun mereka sudah bertahun-tahun menabur bakti dan berkorban demi kelangsungan industri hiburan tanah air.
Ujar Josiah atau nama sebenarnya Josiah Padilla Hogan, 40, kerjaya sebagai pelakon menuntut pengorbanan masa, tenaga dan komitmen selama bertahun-tahun, justeru kebajikan serta bayaran setimpal perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Isu ini sebenarnya sukar kerana boleh berlaku kepada mana-mana pelakon. Kerja kami bukan mudah. Sebagai pelakon, kita menghabiskan masa dan tenaga dalam industri ini selama 15, 20 sehingga 30 tahun.
“Kalau tiba-tiba pada penghujung fasa itu kita sudah tidak mendapat tawaran, sukar untuk kita bangkit semula. Kita tidak boleh kembali muda dan memulakan pekerjaan lain begitu sahaja. Industri ini sepatutnya berlandaskan kepercayaan.
“Apabila kita sudah lama berkhidmat, kita berharap bayaran diberikan mengikut piawaian sewajarnya tapi perkara menyedihkan adalah kepercayaan diberikan itu tidak dipenuhi oleh sesetengah pemain industri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang filem Orang Perang itu, kesukaran dihadapi anak seni seharusnya membuka mata pihak produksi untuk menilai semula pendekatan pemilihan pelakon, terutama apabila melibatkan peluang pekerjaan serta kadar bayaran.
Baginya, pihak produksi tidak seharusnya hanya bergantung pada pelakon popular atau mereka yang mempunyai jadual padat, sebaliknya boleh mempertimbangkan bakat lain dengan kelapangan masa serta kemampuan menghidupkan watak.
“Saya melihat perkara ini sebagai ujian daripada Tuhan kerana suatu hari nanti kita mungkin berdepan kesusahan. Namun, sudah tentu situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
“Kita tidak semestinya perlu mengambil pelakon dengan jadual sentiasa padat. Mengapa tidak memberikan peluang kepada pelakon lain yang mempunyai kelapangan masa?
“Siapa tahu apabila mereka membawa watak itu, lakonan mereka boleh menjadi tular kerana fikiran lebih lapang dan mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghidupkan karakter berkenaan,” jelasnya pada majlis pelancaran filem Takluk 2: OP Daulat, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Josiah berkata industri perfileman Hollywood turut memperlihatkan situasi apabila pelakon pilihan kedua atau ketiga akhirnya berjaya mencuri perhatian menerusi persembahan mantap dalam sesebuah karya.
“Perkara ini sering berlaku di Hollywood. Pelakon pilihan kedua atau ketiga akhirnya menjadi individu yang meledakkan sesebuah filem.
“Jadi, peluang tidak sepatutnya tertumpu kepada nama besar sahaja,” tegasnya.
Terdahulu, pelakon dan pelawak Syanie menjadi sasaran kecaman segelintir pengguna platform Threads selepas mendedahkan pernah ditawarkan bayaran serendah RM500 sehari untuk menjalani penggambaran.
Pendedahan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai kadar bayaran pelakon tempatan, selain persoalan tentang penghargaan terhadap pengalaman serta sumbangan penggiat seni dalam industri hiburan tanah air. – HIBGLAM.

