DIGOSIPKAN bercinta dengan pelakon Chacha Maembong, aktor Andy Teh enggan mengulas perkara terbabit kerana tidak mahu urusan seninya terganggu.
Andy, 41, berkata, dia berharap peminat yang menyokongnya dapat memberikan perhatian terhadap perihal yang lebih penting iaitu pekerjaan sebagai seorang anak wayang.
“Saya memilih untuk tidak berkongsi mengenai hal peribadi ketika ini dan mahu beri tumpuan terhadap kerjaya seni.
“Kepada peminat, kalau betul-betul minat saya dalam bidang seni, tolonglah terus sokong. Hal-hal peribadi saya letak tepi.
“Namun, saya sedar setiap orang mempunyai ruang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat masing-masing. Jadi, tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada yang bercakap mengenai hal tersebut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Bagaimanapun, bintang filem Blood Brothers itu berharap peminat terus memberikan sokongan terhadap perjalanan kerjaya seninya tanpa terlalu memikirkan kehidupan peribadinya.
Dalam perkembangan lain, Andy bersyukur apabila tercalon dalam kelompok lima terbaik kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi filem Abah Saya Uncle Mike.
Katanya, pencalonan tersebut cukup bermakna memandangkan itu merupakan kali pertama namanya tercalon selepas bertahun-tahun bergelar anak seni.
“Saya sangat bersyukur dapat tercalon dalam kelompok lima terbaik dan itu sudah cukup bermakna.
“Saya anggap pencalonan ini sebagai satu kemenangan kerana sudah bertahun-tahun menyertai FFM, tetapi ini kali pertama saya tercalon,” ujarnya.
Mengulas peluang membawa pulang trofi kemenangan, Andy menyerahkan segalanya kepada ketentuan Tuhan dan menganggap pencalonan dalam kelompok lima terbaik itu sendiri sebagai satu pencapaian besar.
“Soal itu (kemenangan), kita serahkan kepada Tuhan. Kalau menang, itu rezeki tetapi bila dapat tercalon dalam kelompok lima terbaik pun sudah membanggakan.
“Kita perlu sentiasa berfikiran positif kerana persaingan tahun ini memang hebat dan semua mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya sudah memberikan yang terbaik. Sekarang hasil usaha saya mendapat perhatian dan pengiktirafan apabila tercalon dalam Top 5, itu sudah cukup bagi saya,” ujarnya.
Dalam kategori tersebut, Andy bersaing dengan empat lagi pelakon iaitu Wan Hanafi Su (Badak), Aedy Ashraf (Tarung), Kuben Mahadevan (Macai) dan Sky Iskandar (The Furious).
Terdahulu, nama Andy menjadi bualan apabila dilihat hadir ke sebuah acara di taman tema air popular bersama Chacha.
Kehadirannya bersama Chacha mengundang dakwaan dia kini menjalin hubungan istimewa dengan pelakon tersebut meski sebelum ini pernah menafikannya. – HIBGLAM

