PENAMPILAN baharu jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) yang semakin ramping dan wajah tampak lebih segar mencuri perhatian ramai.
Perubahan tersebut pantas menjadi buah mulut netizen, malah ada mendakwa usahawan sensasi itu kelihatan lebih muda daripada usia sebenar selain gaya fesyennya juga dilihat semakin ringkas.
Ramai netizen menjangkakan DSV sedang membuat persiapan rapi untuk melangkah ke gerbang perkahwinan dengan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob selain mengaitkan perubahan fizikalnya dengan kemungkinan mahu tampil menawan pada hari bahagia nanti.
Namun, setakat ini, segala spekulasi berkenaan belum boleh dianggap sebagai pengesahan mengenai sebarang perancangan perkahwinan. Diva tidak mahu mendahului tuan badan, takut nanti orangnya belum bersedia, kita pula sibuk memilih warna baju pengantin.
Apa pun, Diva memang tabik kepada sesiapa sahaja berjaya menurunkan berat badan melalui usaha konsisten.
Bukan mudah hendak mengubah rutin pemakanan dan gaya hidup, apatah lagi apabila godaan makanan datang tanpa mengenal waktu. Diva sendiri separuh mati mahu menurunkan lima kilogram, jadi memang faham perjuangan tersebut.
DIVA: Ramai pula mengimpikan pasangan hidup seperti Syed Saddiq selepas melihat perkahwinannya dengan Bella Astillah. Nampaknya, standard pasangan idaman netizen makin tinggi.

