LAPAN minggu bertanding, peserta kelahiran Kota Kinabalu, Dabra Sia akhirnya dijulang sebagai juara program realiti Borneo Rising musim pertama.
Menyampaikan lagu Abracadabra nyanyian asal Lady Gaga secara solo dan berduet bersama Mai K.O.I menerusi lagu Ku Bersuara, Dabra membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000, trofi Borneo Rising tajaan Astro dan CelcomDigi, bakal merakamkan sebuah single dan muzik video terbitan Rocketfuel, kontrak pembangunan dan pemasaran artis bernilai sehingga RM100,000 tajaan Rocketfuel.
Bukan itu sahaja, dia turut memenangi persembahan Paling Power sekali gus layak membawa pulang sumbangan CelcomDigi dan hadiah RM5,000.
Ditemui ketika sidang media, Dabra menyifatkan kemenangan dalam program itu menjadi platform penting untuk dirinya mengembangkan bakat, memperkukuh identiti muzik dan membuka peluang kerjaya di peringkat lebih luas.
“Kejayaan ini cukup bermakna selepas lapan minggu menjalani persiapan dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang Borneo Rising berlangsung.
Sudah tentu saya sangat gembira dan lega kerana kami semua sudah berusaha bersungguh-sungguh selama lapan minggu.
“Bukan sahaja diri saya seorang tetapi semua peserta sejak awal mahu membuktikan bahawa persembahan artis dari Sabah mampu bersaing dengan peserta daripada program realiti televisyen lain,” katanya.
Mengingati kembali detik-detik awal ketika mahu menyertai Borneo Rising, Dabra menyifatkan peluang mengikuti rancangan realiti terseBut pada awalnya menimbulkan keraguan kerana beranggapan dirinya sudah dikenali sebagai penyanyi di Sabah.
Bagaimanapun penyanyi lagu Hanya Di Sabah itu akhirnya mengambil keputusan menyertai program itu selepas melihat ia mampu membantu mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih luas.
Menurut Dabra selain menyanyi, antara perkara yang ingin dipelajari adalah penulisan lagu serta membina hubungan baik dengan komposer dan penulis lirik bagi memperkukuh kemahiran muziknya kerana sebelum ini dirinya sudah mempunyai lagu sendiri namun kebanyakannya mengetengahkan muzik serta identiti Sabah.
Sementara itu, ditanya sama ada bersedia berhijrah ke Kuala Lumpur sekiranya ada tawaran, penyanyi yang turut dikenali menerusi lagu Senyuman Sabahan itu memaklumkan bergantung kepada rezeki dan peluang yang bakal diterima.
“Kalau ada rezeki, sudah tentu saya terbuka kepada peluang itu.
“Namun, saya perlu melihat keadaan dan mempertimbangkannya apabila tiba masanya,” ujar Dabra.
Dianjurkan buat julung kalinya, pentas akhir Borneo Rising yang dihoskan Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad turut menyaksikan Petrova berjaya menempatkan diri sebagai naib juara manakala Joy dan Harris masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat. – HIBGLAM

