‘Tak boleh puaskan hati semua tetamu, saya mohon maaf’

PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah memohon maaf kepada tetamu yang terasa hati dengan susun atur meja dalam majlis resepsinya yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, mengendalikan 3,000 tetamu bukan sesuatu yang mudah, sebahagian tugas perlu diberikan kepada orang lain untuk diuruskan.

“Sebenarnya hari ini (semalam) saya ada dapat mesej daripada beberapa kenalan yang berkecil hati dan balik disebabkan kedudukan meja dalam dewan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memohon ribuan kemaafan kerana bukan saya dengan suami yang uruskan tentang kedudukan tetamu. Tugas itu diambil alih oleh pengurus dan pembantu peribadi.

“Saya harap semua faham yang saya tiada langsung niat untuk memperkecilkan. Mungkin ada rakan-rakan terdekat yang berkecil hati kenapa kedudukan meja mereka sebegitu.

Tetapi percayalah, kesemua 3,000 tetamu yang kami jemput ini orang yang baik dan kami ingat,” katanya ketika ditemui di sidang media usai tamat majlis resepsi, semalam.

Tambah Bella lagi, dia sendiri tidak pernah mempertikaikan tempat duduknya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan orang lain.

“Saya tak pernah tanya nanti saya kena duduk di mana. Kerana pada saya, sudah dijemput pun saya sangat bersyukur.

“Saya mohon maaf sekali lagi. Memang kekhilafan itu datang daripada kami. Kami tak boleh puaskan hati semua orang.

“Dalam masa yang sama saya nak ucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah menguruskan majlis ini sehabis baik sampai tak tidur,” jelasnya.

Majlis resepsi pertama Bella dan Syed Saddiq berlangsung meriah dengan dihadiri ramai figura terkenal termasuklah tokoh politik, atlet negara serta selebriti tanah air.

Antara figura terkenal yang hadir ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicole Ann David, Datuk Yusof Haslam, Nur Fazura, Neelofa, Mira Filzah, Fasha Sandha dan Nora Danish. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok