AKTOR Azhan Rani terkilan apabila segelintir pihak sengaja memanggilnya ‘Rani’ sedangkan panggilan berkenaan merujuk kepada nama arwah bapanya.
Ujar Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, 49, dirinya tidak pernah memperbesarkan kesilapan individu yang tersalah memanggil, namun kecewa apabila teguran diberikan secara baik dibalas dengan gelak atau sindiran.
“Mungkin karakter saya orang nampak suka bergurau. Tetapi ada bahagian tertentu kita kena hormat, sebagai contoh arwah bapa saya. Mungkin ada orang kata normal kalau seseorang dipanggil dengan nama pertama, tetapi kita bukan mat salih.
“Secara logiknya, orang akan panggil nama depan dan jarang menggunakan nama belakang. Contohnya Rosyam Nor, kita tidak pernah panggil Nor, kan? Aina Abdul pula, tidak ada orang panggil Abdul.
“Saya tidak marah kalau mereka tersalah, perkara itu masih boleh diterima. Tetapi apabila saya sudah betulkan, kemudian ditertawakan dan dibalas secara sinis, bagi saya itu agak biadab,” katanya kepada HibGlam pada jelasnya pada watch party drama Bulan Henti Bicara, di sini, malam tadi.
Tambah bintang drama Seribu Tahun itu, pengalaman berdepan situasi sama pernah berlaku ketika dirinya berada di Gunung Agung, Bali, malah ketika itu dia berada dalam keadaan letih selepas mendaki.
“Pernah berlaku satu insiden ketika saya di Gunung Agung, Bali. Saya sedang penat, kemudian di atas puncak itu ada seorang individu memanggil, ‘Rani, Rani, mari sini ambil gambar’.
“Saya terangkan kepadanya bahawa Rani itu nama arwah bapa saya, tetapi dia ketawa. Apabila saya jelaskan sekali lagi pun, dia masih tidak dapat faham. Kalau saya marah, nanti perkara itu menjadi perhatian dan isu pula.
“Saya cuma minta sedikit pemahaman daripada orang ramai bahawa ada perkara tertentu membuatkan saya tidak selesa dan saya tidak boleh menipu diri sendiri. Mungkin orang lain tidak kisah, tetapi saya kisah kerana itu berkaitan arwah bapa saya,” ujarnya.
Justeru, Azhan memilih untuk menetapkan batas dengan caranya sendiri, termasuk mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada individu dalam media sosial apabila merasakan interaksi sudah melampaui keselesaan.
“Kalau dalam media sosial, paling tidak setiap hari kerja saya ialah menyekat orang. Sebab netizen sentiasa rasa mereka betul.
“Jadi tidak mengapa, saya jarakkan diri dan sekat mereka. Saya tidak pernah peduli sama ada jumlah pengikut saya ramai atau berkurang,” katanya.
Sebelum ini, Azhan menegur segelintir pihak kerana mengambil ringan perkara berkaitan namanya apabila memanggilnya menggunakan nama arwah bapanya yang disifatkan biadab serta tidak wajar. – HIBGLAM.
