SAYA jangka Allahyarham Jalil Hamid yang menang.”
Itu respons aktor Azhan Rani yang mengakui tidak menyangka meraih kemenangan sulungnya di pentas Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) menerusi kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik.
Menurut Azhan, 48, dia pada awalnya meletakkan jangkaan bahawa trofi tersebut bakal menjadi milik Allahyarham Jalil Hamid berdasarkan bakat besar serta pengorbanan yang dicurahkan seniman veteran itu dalam industri seni. Jalil bahkan meraih dua pencalon dalam kategori sama menerusi dua naskhah berbeza.
“Saya memang jangkakan arwah abang Jalil yang akan menang. Awal-awal lagi saya sudah titipkan ucapan tahniah kepada anaknya yang mewakili arwah dalam media sosial.
“Malah, saya sendiri hampir tidak hadir ke majlis ini kerana perlu menguruskan hal keluarga dan ibu.
“Ketika bersiap untuk ke acara ini pun saya sempat buka semula ‘blazer’ dan terfikir tak perlu pergi, datang sekadar nak tepuk tangan sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online.
Bintang yang terkenal dengan watak Jamali itu menambah, awalnya dia sendiri kurang jelas soal judul drama kemenangannya ketika diumumkan penyampai trofi memandangkan namanya juga tercalon untuk dua naskhah iaitu Wok dan Seribu Tahun.
“Jujurnya, masa naik atas pentas saya langsung tidak tahu drama mana satu yang menang sebab tak dengar pengumuman.
“Bila masuk ke belakang pentas, barulah saya tahu menang sebab drama Wok.
“Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh tenaga produksi Wok dan Unifi TV serta rasa hormat setinggi-tingginya buat arwah abang Jalil,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya, bintang filem Chelot itu mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat dua insan paling berharga dalam hidupnya.
“Kemenangan ini saya hadiahkan buat dua ‘syurga’ saya. Al-Fatihah buat arwah abah yang tidak sempat melihat detik ini mata dia, Abd. Rani Sabri. Untuk insan yang tak pernah putus doa pada aku walau apapun salah dosaku padanya, terima kasih mak.
“lngatan tulus ikhlas buat Allahyarham Jalil Hamid, seniman yang saya kagumi yang aku jangkakan selayaknya untuk anugerah malam ini, juga abang Zamarul Hisham yang bagai sifu, yang sentiasa saya letakkan di atas,” ujarnya
Menerusi kemenangan tersebut, Azhan turut menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi. Sepanjang kariernya selama ini, Azhan pernah memenangi beberapa anugerah seperti menerusi Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Tribute P. Ramlee (2015), Antagonis Terbaik (Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur / DFKL (2019) dan Anugerah Khas Juri (Anugerah Telenovela (2019). – KOSMO! ONLINE

