Saya kurus bukan sebab patah hati – Zulin Aziz

PENAMPILAN baharu Zulin Aziz bukan semata-mata perubahan fizikal, sebaliknya menjadi sebahagian daripada langkah pelakon dan pengacara itu menyusun semula perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan.

Selepas melalui fasa solo susulan perceraian, Zulin kini lebih bersedia untuk kembali menyinar di hadapan kamera dengan penampilan lebih segar serta semangat baharu.

Malah pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram (kg) menerusi penjagaan pemakanan sehingga mencapai berat sekitar 54kg hingga 55kg.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, dia mengakui perjalanan tersebut belum berakhir kerana cabaran sebenar kini adalah untuk mengekalkan berat badan ideal, selain membina rutin senaman secara konsisten.

“Selepas melalui fasa solo, saya berusaha menurunkan berat badan terlebih dahulu dan berjaya mengurangkan sebanyak 11kg.

Saya kuruskan badan bukan sebab patah hati, tetapi kerana mahu melakukan penjenamaan semula diri sekali gus membuat kemunculan semula di televisyen.

“Untuk kembali aktif, saya perlu mengambil masa memperbaiki penampilan terlebih dahulu. Apabila sudah bersedia, barulah saya kembali muncul di hadapan kamera,” katanya kepada HibGlam.

Tambah bintang filem Polis Evo 3 itu, usaha menjaga penampilan bukan perkara asing dalam bidang seni kerana keperluan fizikal seseorang pelakon boleh berubah mengikut watak serta kehendak produksi.

Justeru, dia melihat penjagaan berat badan sebagai sebahagian daripada persediaan profesional bagi memastikan dirinya lebih bersedia menerima pelbagai tawaran.

“Kalau tuntutan kerja memerlukan kita mempunyai penampilan tertentu untuk menjayakan sesuatu watak, kita kenalah menjaga pemakanan dan berdiet.

Sekarang berat badan saya sudah mencapai 54kg. Saya cuma perlu mula bersenam dan memastikan berat ini kekal.

“Cabaran sebenar sekarang adalah untuk mengekalkannya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai kemunculan semula dalam industri hiburan, wanita berusia 37 tahun itu berkata sebelum ini dia lebih memberikan perhatian kepada rumah tangga, selain mengambil tawaran kerja secara terpilih sambil menguruskan perniagaan sendiri.

“Dahulu, saya banyak memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan hanya mengambil beberapa tawaran kerja sambil menguruskan perniagaan.

“Sekarang saya bukan sahaja fokus berniaga dan menjual produk kurus, malah kembali aktif di televisyen. Peluang itu datang sendiri, bukannya kerana ketika badan saya lebih berisi dahulu tiada tawaran kerja.

“Cuma, apabila berat badan saya meningkat, penampilan mungkin membuatkan saya kelihatan lebih berusia dan watak ditawarkan pula hampir sama. Sekarang, saya nampak lebih banyak pilihan watak dengan sudut berbeza dan tidak terlalu klise,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zulin turut menyertai program realiti masakan dan muzik terbaharu TV3, Karok Dapur, hasil kerjasama dengan jenama rempah ratus BABA’S.

Rancangan sebanyak lapan episod itu mula bersiaran pada 27 September hingga 15 November 2026, setiap Ahad pukul 7.30 malam menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok