Saya nikah secara tertutup 26 September ini – Zahnita Wilson

PELAKON dan model Zahnita Wilson mengesahkan dirinya bakal disatukan dengan tunangnya yang juga berstatus duda pada 26 September depan selepas hampir setahun bergelar ibu tunggal.

Mula bercinta sejak April, Zahnita, 41, berkata, jejaka berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Farouq itu pernah menetap di kawasan kejiranan yang sama dengannya suatu ketika dulu.

“Ya, benar insya-Allah saya akan bernikah dengan dia yang juga duda tanpa anak pada 26 September ini.

“Tempoh perkenalan kami tidak terlalu lama, semuanya bermula sejak April lalu dan dia melamar saya tidak lama selepas itu.

Dia bekerja dalam bidang kewangan dan insya-Allah akan bernikah secara tertutup nanti, tak mahulah buat besar-besaran sebab kami sudah berusia,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Bercerita lanjut, hatinya mula terbuka dan tertarik untuk mengenali rapat jejaka tersebut kerana mempunyai persefahaman yang baik.

“Saya tertarik dengan dia kerana kami boleh berkomunikasi dengan baik dan dia juga seorang lelaki penyayang serta sentiasa mengambil berat.

Sebenarnya ada banyak sebab saya terbuka untuk kembali bernikah dan semuanya berlaku tanpa dirancang, malah dia berjanji nak menjaga dan buat saya bahagia.

“Alhamdulillah sekarang di fasa bahagia tetapi ada jugak rasa gemuruh,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia menegaskan tidak pernah berasa serik untuk kembali berkahwin kerana berasakan semakin matang untuk melalui fasa kehidupan berbeza.

“Saya tidak takut sebab sekarang situasi dan orang yang akan saya nikahi berbeza.

Sekarang saya lebih matang berbanding dulu yang agak naif.

“Kami berdua pun sudah belajar banyak benda daripada perkahwinan terdahulu, jadi harapnya kali ini akan kekal ke syurga,” kongsinya.

Dia juga berkata, keempat-empat anaknya turut menyambut baik keputusannya untuk kembali berkahwin dan bakal hadir pada hari tersebut.

Alhamdulillah, anak-anak tumpang gembira dengan keputusan saya.

“Insya-Allah, mereka akan hadir pada hari bahagia saya nanti,” ujarnya lagi.

Sejak semalam, tular sebuah hantaran milik Zahnita yang menulis ’23 hari lagi’, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen dia bakal berkahwin tidak lama lagi.

Zahnita pada 4 Ogos lalu mengesahkan sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang duda yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu.

Mengakui majlis pertunangan mereka juga sudah berlangsung sederhana baru-baru ini, pemilik nama Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson bagaimanapun memilih untuk terus merahsiakan identiti lelaki yang berjaya menambat hatinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok