Saya tak buli, cuma jalankan tugas ketua pramugari – Maria Tunku Sabri

PENGACARA Maria Tunku Sabri menafikan dirinya seorang pembuli seperti didakwa segelintir pihak sebaliknya menjelaskan hanya bersikap tegas ketika menjalankan tugas sebagai ketua pramugari di sebuah syarikat penerbangan suatu ketika dahulu.

Menurut Maria, 53, dakwaan tersebut mungkin timbul selepas dia berkongsi mengenai pengalaman kerjaya sebagai bekas pramugari dalam siaran audio siar (podcast) bersama penyanyi dan bekas pramugara, Zarul Umbrella.

“Saya bukan buli orang tetapi menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai ketua pramugari. Jangan salah anggap, saya mengajar kru-kru baharu bekerja sebab dulu saya juga begitu, diajar.

“Bab kerja saya tegas namun apabila sudah sampai di sesuatu destinasi, contohnya London, Paris atau di mana-mana, saya berkawan macam biasa dengan kru-kru lain.

“Tapi setiap kali memakai uniform kerja, saya akan jadi seorang ketua pramugari yang tegas. Itu saya,” katanya kepada HibGlam di sini, semalam.

Sebagai ketua pramugari, dia perlu memastikan setiap kru memahami tugas masing-masing kerana dirinya bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang sepanjang penerbangan.

“Setiap kali ada penerbangan, kalau berlaku sebarang kemalangan, saya yang akan bertanggungjawab. Tidak kisahlah kemalangan itu kecil atau besar.

“Sebab itu saya mahu mereka faham tugas dan kerja masing-masing.

“Saya memang sentiasa lakukan kerja dengan serius. Kalau kru ada lima orang, mereka semua itu saya perlu pastikan betul-betul mahir dengan tugas masing-masing,” katanya lagi.

Tambah Maria, setiap kru perlu memahami setiap aspek perkhidmatan, pertolongan cemas termasuk CPR serta prosedur keselamatan sekiranya berlaku kecemasan ketika penerbangan.

“Semua aspek itu penting kerana apabila kita dalam penerbangan, apa-apa jadi, saya yang bertanggungjawab sebab saya ketua pramugari di dalam pesawat.

“Sebab itu apabila kru naik penerbangan saya, saya akan pastikan pengetahuan mereka 100 peratus ‘tip-top’,” ujarnya.

Jelasnya, perkara tersebut mungkin tidak difahami oleh segelintir netizen sehingga membuatkan dirinya dilabel sebagai pembuli.

“Itu yang netizen tak faham. Netizen ingat pembuli sedangkan saya bukan membuli.

“Saya mengajar, cuma nak pastikan kru mahir dengan kerja masing-masing supaya saya tak perlu menjawab dengan syarikat nanti.

“Sebab kalau berlaku kecemasan, mereka tak tahu nak buat apa, panik atau hanya senyap — itu tak membantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia berharap orang ramai menghentikan sebarang gerakan memboikotnya kerana menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bagus.

“Gerakan boikot ini sebenarnya tak baik. Kalau boleh, janganlah buat gerakan pembuli.

“Kalau boleh, saya minta tolonglah kepada semua yang ada gerakan membuli itu, berhentilah di situ.

“Kalau kita tak boleh jadi manusia yang baik, jangan jadi manusia yang jahat. Jangan membentuk satu masyarakat yang tak sihat,” jelasnya. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok