‘Kalau cara abang bergurau buat Aina tak selesa, minta maaf’

MENGAKUI khilaf, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aina Abdul sekiranya gurauannya pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) baru-baru ini menyinggung perasaan penyanyi terbabit.

Afdlin, 55, berkata, dia terpanggil untuk memperjelaskan maksud sebenar lawaknya buat pertama kali agar tidak terus disalah erti orang ramai.

“Selalunya saya tidak menjelaskan lawak yang abang buat, tetapi kali ini abang hendak jelaskan sendiri apa yang abang maksudkan pada malam FFM35.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Abang memang peminat Aina Abdul dan mengikuti perjalanannya dari jauh serta melihat bagaimana dia membina nama serta melalui macam-macam rintangan untuk sampai ke tahap sekarang,” katanya menerusi hantaran dalam Threads hari ini.

Dia memetik nama penyanyi lagu Sumpah itu kerana mengagumi keberaniannya bereksperimen dengan gaya fesyen yang luar biasa sehingga menjadi identiti tersendiri.

“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen apabila dia melakukannya secara konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun sudah tahu, ‘haa, itu mesti Aina Abdul’.

“Itu namanya penjenamaan yang menjadi dan sebab itulah saya petik nama Aina malam itu sebagai sebahagian daripada kebiasaan saya menyelitkan gurauan tentang rakan-rakan seni yang dikagumi.

“Masa mengacara Anugerah Industri Muzik (AIM) dahulu pun saya pernah bergurau tentang Zee Avi, Datuk Sheila Majid, Allahyarham Adibah Noor, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

“Oh ya, mungkin ada yang tidak tahu, saya pun pemuzik dan penyanyi, pelawak sendu ini ada kelas tersendiri juga,” katanya lagi.

Mengulas dakwaan menghina bentuk fizikal, pengarah filem Baik Punya Cilok itu menegaskan jenakanya hanya merujuk kepada saiz busana yang digayakan Aina sebelum ini.

“Apabila timbul soal menghina fizikal, abang hendak jelaskan apa yang abang rujuk iaitu inti pati lawak malam itu adalah tentang saiz busana dan apa yang jadi pada pandangan kamera kalau pakaian segah itu berada di barisan hadapan.

“Saya sendiri sudah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi tahu macam mana rasanya apabila fizikal kita dijadikan bahan lawak,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan Aina mencipta pengaruh tersendiri dalam industri muzik dan fesyen tempatan membuatkannya memasang impian untuk bergandingan bersama penyanyi itu suatu hari nanti.

“Saya sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal dan keberanian dia itulah yang abang hendak tonjolkan.

“Aina, kalau cara abang bergurau malam itu membuatkan Aina berasa tidak selesa, abang minta maaf kerana tidak berniat hendak menyindir awak.

“Abang memang peminat tegar dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat hendak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, dia turut menerima segala teguran dengan hati terbuka memandangkan cara penerimaan masyarakat terhadap jenaka pada era media sosial kini sudah jauh berubah.

“Cara orang menerima gurauan sudah banyak berubah sejak zaman saya mula mengacara tambahan pula sekarang sedutan beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran.

“Sebab itu saya beri konteks sendiri, kepada yang menegur, saya dengar dan kepada yang sudah lama tidak berkenan, saya doakan yang baik-baik juga.

“Saya jauh daripada sempurna dan cuma cuba buat sebaik mungkin dalam kerja serta dalam hidup,” ujarnya.

Terdahulu, Afdlin dikecam hebat dalam media sosial susulan gurauannya di pentas FFM35 yang dikatakan tidak sensitif kerana menyentuh mengenai penampilan individu lain iaitu Aina.

“Aina Abdul atau orang yang pakai baju macam dia diminta duduk di belakang dewan kerana anda menghalang kamera dan Datuk Fahmi Fadzil mungkin tak nampak jika anda duduk di depan,” selorohnya.

Gurauan sinis tersebut mengundang kemarahan ramai sehingga menuntutnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pemenang tempat keempat pertandingan Eurovisions Asia 2026 itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok