‘Jangan paksa diri untuk pulih dalam satu hujung minggu sahaja’

PELAKON dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mendesak diri untuk pulih daripada keletihan emosi, kehilangan atau perubahan besar dalam kehidupan kerana setiap individu mempunyai tempoh pemulihan berbeza.

Ujar Sarimah, 48, proses bangkit semula daripada keletihan melampau atau burnout bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan masa, kesabaran dan ruang untuk menyesuaikan diri.

“Keletihan melampau (burnout) sebagai pekerja, ibu bapa atau penjaga bukan sesuatu yang boleh pulih dalam sehari dua. Ada individu memerlukan masa antara satu hingga tiga tahun untuk kembali pulih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kehilangan pekerjaan juga satu bentuk kehilangan. Ada kalanya seseorang mengambil masa bertahun-tahun untuk bangkit semula.

“Perubahan besar dalam kehidupan pula mungkin memerlukan tempoh tiga hingga lima tahun sebelum kita benar-benar dapat menyesuaikan diri,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Bila Cinta Menjadi Dosa itu, masyarakat perlu memahami proses pemulihan setiap individu tidak berlaku pada kadar sama, justeru perbandingan dengan kehidupan orang lain hanya berpotensi menambahkan tekanan.

“Jadi, jangan paksa diri untuk pulih dalam satu hujung minggu sahaja.

“Kita manusia, bukannya mesin yang boleh menekan butang tetapan semula (reset) dan terus kembali berfungsi seperti biasa. Proses penyembuhan memerlukan masa,” ujarnya.

Paling penting katanya, setiap orang mempunyai perjalanan kehidupan tersendiri dan tidak wajar dianggap lemah hanya kerana mengambil masa lebih lama untuk kembali bangkit.

“Tidak semua orang mempunyai tempoh pemulihan sama.

“Jangan terlalu keras terhadap diri sendiri. Kita semua sedang belajar untuk bangkit semula, mengikut cara dan masa masing-masing,” jelasnya.

Rata-rata bersetuju bahawa proses pemulihan emosi tidak seharusnya dibandingkan kerana setiap individu berdepan cabaran serta pengalaman berbeza.

Malah, ada juga netizen menyifatkan pesanan itu sebagai peringatan untuk lebih menghargai diri sendiri, terutama ketika berhadapan tekanan pekerjaan, tanggungjawab keluarga dan perubahan hidup di luar jangkaan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok