BELUM melangkah ke gerbang perkahwinan, Bella Astillah sudah mencuri perhatian dengan cara menghargai sahabat yang bakal menjadi ‘bridesmaids’ atau pengapit hari bahagianya tular dalam media sosial.
Bukan sekadar sekotak coklat atau kain pasang, setiap seorang menerima sebuah bagasi merah jambu sarat hadiah menarik. Menerusi video ‘unboxing’ yang dikongsikan, antara barangan mengisi bagasi adalah peralatan sukan seperti tikar yoga, topi dan tuala yang mempunyai tulisan Bella’s Bridesmaid.

Selain itu, pengapit turut menerima kasut sukan berjenama, barangan kecantikan dan minyak wangi. Di sebalik keterujaan khalayak melihat hadiah berkenaan, Bella, 32, turut menjelaskan pemilihan pengiringnya bukan berdasarkan populariti atau status selebriti. Apa yang penting adalah keikhlasan sebuah persahabatan.
Antara ‘bridesmaids’ Bella adalah Toh Puan Syamim Frieda, Tya Arifin, Emma Suhaimi dan adiknya, Didie Astillah serta sahabat yang bukan orang industri hiburan.
Eva Longoria

Jauh sebelum budaya ‘unboxing bridesmaid gifts’ menjadi fenomena dalam media sosial, bintang Desperate Housewives, Eva Longoria sudah melakukan perkara sama lama dahulu.
Ketika berkahwin dengan pemain bola keranjang Tony Parker di Paris, Perancis pada 7 Julai 2007, Eva memilih sembilan sahabat rapat sebagai ‘bridesmaids’ dan menyifatkan mereka sebagai insan yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.
Hadiah yang disediakan Eva pula bukan calang-calang. Antaranya barangan kemas Lia Sophia bernilai keseluruhan AS$2,600 (RM10,469) termasuk gelang kristal bernilai AS$1,500 (RM6,039) anting-anting H. Stern bernilai AS$1,000 (RM4,026) serta loket berlian dengan huruf awal nama setiap pengiring bernilai AS$1,050 (RM4,227). Turut diberikan adalah gelang kristal Baccarat, kamera Casio dan beg clutch Rafe bertatah kristal Swarovski.
Lebih manis, hadiah diserahkan pada malam sebelum perkahwinan ketika Eva mengadakan acara santai bersama sembilan sahabatnya di sebuah hotel mewah.
Priyanka Chopra

Bintang Bollywood dan Hollywood, Priyanka Chopra pula memilih cara tersendiri meraikan sahabat wanita terdekatnya ketika berkahwin dengan penyanyi Nick Jonas di Umaid Bhawan Palace, Jodhpur, India pada Disember 2018.
Antara wajah yang berada dalam kumpulan ‘bridesmaids’ termasuklah sepupunya Parineeti Chopra, Sophie Turner, Isha Ambani dan Arpita Khan, sementara ‘bridal shower’ Priyanka di New York dikendalikan dua sahabatnya, Anjula Acharia dan Mubina Rattonsey.
Majlis ‘bridal shower’ di Tiffany & Co.’s Blue Box Cafe, Fifth Avenue itu sendiri sudah cukup eksklusif dengan hampir 100 tetamu, termasuk Kelly Ripa dan Lupita Nyong’o. Tetamu pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima beg cenderahati mengandungi sarung pasport bermonogram, kek mini berbentuk kotak ikonik Tiffany dan sebotol champagne.
Hadiah paling mencuri perhatian diberikan ketika upacara tradisi India, joota chhupai. Parineeti mendedahkan Nick bukan sahaja memberikan wang dalam dolar Amerika dan rupee serta beg, malah menyediakan dulang dipenuhi cincin berlian untuk kelompok pengapit Priyanka.
Luna Maya

Pernikahan aktres Indonesia, Luna Maya dengan Maxime Bouttier pada 7 Mei 2025 di COMO Shambhala Estate, Gianyar, Bali menjadi antara perkahwinan selebriti paling diperkatakan tahun lalu.
Luna memilih 14 ‘bridesmaids’ termasuk Dewi Fairbrother, Melaney Ricardo, Ayu Dewi, Paula Kadek Tamboto, Surya Kuhn, Tania Hartika, Marianne Rumantir, Patricia Panigoro, Taskya Namya, Lolita Putri, Millane Fernandez, Diana Nasimuddin, Selly Wilson dan Imey Liem.
Bukan sekadar bersamanya pada hari bahagia, Luna dan Maxime turut menyediakan bingkisan istimewa set wangian YSL Libre merangkumi minyak badan, minyak wangi dan hair mist, bedak serta lip shine, lilin Diptyque, produk penjagaan kulit, losen badan serta serum. Paling mencuri perhatian adalah pakej rawatan kecantikan ZAP bernilai RM3,870 untuk setiap ‘bridesmaids’.
Ayu Dewi yang berkongsi proses ‘unboxing’ turut menerima sepasang kasut tumit tinggi, jubah kimono dan kebaya hijau rekaan Fadlan yang dipakai sebagai seragam ‘bridesmaid’. Media Indonesia ketika itu menganggarkan keseluruhan bingkisan yang diterima mencecah sekitar RM6,362, antara termahal dilakukan selebriti Indonesia.
Alyssa Daguise

Nama Alyssa Daguise mungkin lebih sinonim sebagai isteri Al Ghazali dan ibu kepada cahaya mata perempuan mereka, Soleil Zephora Ghazali yang dilahirkan pada 10 Mei lalu. Sebelum bergelar isteri dan ibu, kisah Alyssa ‘memanjakan’ kumpulan ‘bridesmaids’ menjelang pernikahannya dengan Al pada 16 Jun 2025 di The St. Regis, Jakarta turut mencetuskan perhatian.
Antara ‘bridesmaids’ Alyssa adalah Aaliyah Massaid, pereka fesyen Michelle Maryam, pempengaruh Oceane Alagia serta seorang sahabatnya dari Perancis.
Dua hari sebelum akad nikah, Alyssa menghimpunkan belasan sahabatnya itu dalam acara ‘bridal brunch’ sebelum kejutan deretan hadiah dalam beg berwarna merah jambu diagihkan.
Barang paling mencuri perhatian tentunya Dyson Airstrait rona strawberry bronze dan blush pink yang ketika itu berharga sekitar RM1,758 setiap satu. Itu belum termasuk set penjagaan kulit SK-II, set minyak wangi, kosmetik Huda Beauty dan banyak lagi. – HIBGLAM
