Que Haidar tak kisah nama tenggelam dek watak

HAMPIR setahun kembali mewarnai industri seni tempatan, aktor Que Haidar meluahkan rasa syukur apabila kemunculan semulanya disambut baik dan kembali mendapat perhatian penonton daripada pelbagai peringkat usia.

Lebih manis, kehadirannya semula dalam dunia lakonan turut membuka ruang kepada pelbagai tawaran baharu, sekali gus membuktikan bakatnya masih mempunyai tempat dalam hati peminat meskipun berdepan persaingan dengan pelakon generasi muda hari ini.

Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, dia amat menghargai kepercayaan yang diberikan penerbit, pengarah, pelakon serta kru produksi yang masih menerima bakatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, saya sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua kawan-kawan dalam industri, penerbit, pengarah, pelakon dan kru yang menyambut baik kehadiran saya.

“Saya dapat rasa sambutan mereka, perkara positif itu buat saya rasa lebih bersemangat untuk berikan yang terbaik,” kata aktor berusia 47 tahun itu kepada HibGlam.

Mengakui tidak pernah menjangkakan respons positif, dia menyifatkan penerimaan penonton terhadap watak-watak yang pernah dibawa sebelum ini sebagai antara perkara paling membahagiakan sepanjang kembali aktif berlakon.

KEMBALI mendapat tempat di hati peminat selepas lama vakum daripada dunia lakonan, Que berjanji tidak akan mensia-siakan sokongan tidak berbahagi peminat. – SADDAM YUSOF

“Apabila lagu Jamilah keluar, ramai mula nak tahu siapa Que Haidar terutama generasi muda. Kemudian watak Pak Su (drama Pak Su Ammara) pula memberikan impak yang sangat banyak.

“Apabila pergi ke pasar malam, budak-budak kecil panggil ‘Pak Su, Pak Su’. Rasa terharu apabila hasil kerja kita diingati dan memberikan kesan kepada penonton,” katanya lagi.

Baginya, tidak menjadi masalah sekiranya penonton lebih mengingati nama watak berbanding identiti sebenarnya kerana perkara paling penting adalah keberkesanan lakonan yang dipersembahkan dalam sebuah naskhah.

Dia bahkan berpandangan seseorang anak seni dianggap gagal sekiranya lakonan atau watak yang dibawakan dalam sesebuah naskhah tidak meninggalkan sebarang impak dan gagal diingati oleh penonton.

“Maafkan saya kalau pandangan saya berbeza. Saya rasa apabila orang tak ingat watak kita, dianggap macam gagal, betul tak?

“Kerja kita sebagai pelakon, sudah tentu nak orang ingat hasil lakonan. Jadi, bila orang ingat watak dan kerja kita, sepatutnya lebih gembira,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai segelintir pelakon baharu yang kurang selesa sekiranya nama mereka dibayangi karakter lakonan sendiri, bintang filem Rock Oo! itu enggan menyalahkan mana-mana pihak kerana setiap individu mempunyai sasaran kerjaya berbeza.

“Bergantunglah, ikut mereka punya keselesaan, mereka mungkin tak suka tetapi saya berbeza.

“Pelakon ini individu, masing-masing ada matlamat dan mereka inginkan dalam kerjaya sendiri

“Saya tidak menidakkan pendapat pelakon lain itu salah atau betul. Masing-masing ada sasaran tersendiri,” tuturnya.

QUE HAIDAR bersyukur apabila kemunculan semulanya dalam industri seni selepas hampir setahun kembali aktif menerima sambutan positif daripada peminat pelbagai peringkat usia.

Tambahnya, dia tidak pernah terganggu apabila nama watak ikonik lakonannya seperti Amy Mat Piah (filem Rock) kerap disebut atau diparodikan oleh orang ramai sehingga hari ini.

“Nama Que Haidar itu sudah jatuh nombor dua. Macam saya buat Amy Mat Piah, bawa Ku dalam KL Menjerit atau Sepet dalam Castello, jadi orang tertanya-tanya siapa lelaki ini dan nak tahu siapa pelakonnya iaitu saya.

“Semuanya berbalik pada kerja kita dulu. popular atau tidak itu hal kedua. Paling penting, buat kerja bagus-bagus dan kemudian stesen televisyen, penerbit atau penonton mahukan kita lagi.

“Populariti itu akan kembali kepada kita juga tapi paling utama hasil kerja yang bagus,” ujarnya.

Ditanya mengenai reaksi apabila Amy Mat Piah sering dijadikan bahan parodi oleh peminat, Que terharu karakter tersebut berjaya menjadi antara watak ikonik dalam dunia perfileman tanah air.

“Saya okey saja, tak ada masalah. Banyak watak dalam industri kita yang jadi ikonik seperti Azura, Ali Setan dan Zack.

“Jadi untuk seorang pelakon berjaya ‘mengikonikkan’ watak-watak yang diberi itu sebenarnya susah dan sukar. Kalau saya, saya dapat begitu, bersyukur sahaja,” jelasnya.

GEMAR menonton ceruta seram, Que akui banyak kisah genre sedemikian tidak dapat meninggalkan kesan takut buat dirinya.

Cerewet cerita seram

Beralih kepada perkembangan kerjaya, Que kini kembali menerusi drama seram Nak Dengar Cerita Hantu 2 yang menyaksikan dia membawakan watak Long Samad, seorang pencerita yang menjadi penghubung kepada kisah-kisah seram dalam naskhah berkenaan.

Menariknya, pelakon itu mengakui bukan penggemar genre seram, namun bersetuju untuk berlakon kerana melihat peluang berkenaan sebagai langkah baik untuk memperkenalkan semula dirinya kepada penonton.

“Sebenarnya saya tidak suka sangat berlakon cerita seram. Bukan sebab takut tetapi saya cerewet.

“Saya suka menonton cerita seram, jadi tidak banyak cerita seram yang dapat menakutkan saya. Kalau hendak buat cerita seram, biarlah betul-betul menakutkan.

“Kadang-kadang kita boleh agak jalan cerita. Bagi saya, apa sahaja genre sekali pun, skrip berkualiti sangat penting,” jelasnya.

Bagi menghidupkan watak Long Samad yang buta sebelah mata, Que turut mencabar dirinya memakai kanta lekap putih sehingga mengehadkan penglihatan sepanjang tempoh penggambaran.

“Ini kali pertama saya memakai kanta lekap setiap hari untuk watak. Memang tidak selesa kerana mata mudah kering, malah saya perlu mendapatkan bantuan jurusolek untuk memasang dan menanggalkannya.

“Nak buka dan pasang balik itu satu penyeksaan juga tambahan pula saya tak pandai memakainya sendiri dan perlu bantuan orang lain,” katanya yang turut bergandingan dengan Chacha Maembong, Arfie Shah dan Cahaya Nilam.

QUE terharu apabila watak Pak Su dalam drama Pak Su Ammara berjaya mencuri perhatian penonton sehingga kanak-kanak turut mengenalinya ketika bertemu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok