Satu penghormatan besar dapat kenal Wan Azizah – Krisdayanti

PENYANYI popular Indonesia, Krisdayanti menzahirkan rasa kagum dan penghormatan tinggi terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang disifatkannya sebagai wanita hebat dalam dunia politik Malaysia.

Krisdayanti, 51, mengakui peluang mengenali tokoh wanita tersohor itu merupakan satu penghargaan besar buat dirinya.

“Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail: Perempuan Tangguh dalam Politik Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wan Azizah Wan Ismail adalah isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Merupakan satu penghormatan untuk saya dapat mengenali sosok perempuan yang begitu menginspirasikan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Tambah pelantun lagu Menghitung Hari itu, perjalanan hidup Wan Azizah juga boleh dijadikan teladan kepada orang lain, khususnya dalam memahami erti sebenar kekuatan seorang wanita.

“Perjalanan hidup dan pengabdian Wan Azizah mengajar kekuatan seorang perempuan tidak selalu ditunjukkan melalui kata-kata yang besar.

“Sebaliknya melalui keteguhan hati, kesabaran dan kesetiaan terhadap nilai-nilai perjuangan. Junjung kasih,” katanya lagi.

Dalam hantaran berasingan, Krisdayanti turut menyentuh keistimewaan muzik yang disifatkannya bukan sekadar hiburan, malah berupaya merapatkan hubungan antara negara serta membuka ruang kepada kreativiti baharu.

“Betapa indahnya ketika muzik mampu mempertemukan generasi, merawat kenangan, sekali gus membuka ruang bagi kreativiti baharu.

“Terima kasih Malaysia, untuk sambutan hangat dan cinta yang tidak pernah berubah sepanjang perjalanan muzik saya,” ujarnya.

Hantaran tersebut turut dibanjiri pelbagai komen positif daripada warganet yang rata-ratanya gembira melihat hubungan baik antara Malaysia dengan Indonesia.

Difahamkan, Krisdayanti berada di Malaysia bagi memenuhi undangan persembahan sempena festival muzik Ultra Kalcer yang berlangsung selama dua hari di ibu negara bermula hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok