Akhirnya orang pandang kemampuan vokal saya – Marsha

SEBUT sahaja nama penyanyi, pelakon dan pengacara, Marsha Milan, masih segar dalam ingatan kemenangannya pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) apabila berjaya merangkul Anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa.

Tahun sebelumnya, penyanyi yang berasal dari Negeri Di Bawah Bayu itu mencipta kejayaan besar apabila bergelar juara AJL39 melalui lagu Hening Rindu.

Perjalanan seni pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh bukanlah semudah yang disangka.

Biarpun lahir daripada program realiti popular Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005, kerjaya nyanyiannya hanya menjadi bualan ramai selepas dia dinobatkan sebagai naib juara AJL36 menerusi lagu Cinta.

Persembahan hebatnya pada AJL36 akhirnya membuka mata ramai terhadap kemampuan vokalnya yang selama ini dipandang enteng.

Sejak itu, nama Marsha tidak pernah tercicir daripada menjadi finalis di pentas AJL sehingga edisi yang terbaru tahun ini.

“Alhamdulillah, sudah dua minggu berlalu tetapi sehingga hari ini saya masih dihujani dengan ucapan tahniah.

20 tahun saya menanti detik ini, akhirnya ada yang memandang serius kemampuan vokal saya sebagai penyanyi.

“Saya masih ingat satu ketika dahulu, ada pihak mengkritik vokal saya. Lebih menyedihkan, dia orang yang saya tak sangka akan berkata begitu. Malah, dia ada dalam majlis pelancaran lagu saya ketika itu.

“Kritikannya membuatkan saya mempersoalkan kemampuan diri sebagai penyanyi.

Adakah saya tidak cukup bagus? Saya juga mula mempersoalkan kewujudan dalam industri. Ketika itu tertanya-tanya, perlukah saya bertahan?” kongsinya mengimbau semula antara titik terendah dalam kehidupannya sebagai penyanyi.

PENERIMAAN positif industri dan peminat terhadap karya-karya dendangannya membuatkan Marsha semakin bersemangat untuk muncul dengan lagu bermutu dan menyerlahkan lagi keupayaan vokalnya.

PENERIMAAN positif industri dan peminat terhadap karya-karya dendangannya membuatkan Marsha semakin bersemangat untuk muncul dengan lagu bermutu dan menyerlahkan lagi keupayaan vokalnya.

Ibu tak restu sertai AF3

Biarpun kini berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi handalan tanah air, Marsha tidak pernah lupa keputusannya menyertai AF3 ditentang keras ibu tercinta.

“Ibu tak suka saya masuk AF. Dia mahu saya sambung belajar dalam bidang muzik dan merancang hantar saya ke India.

Bila saya terkandas di peringkat ‘prelude’, terus saya kena bebel dengan dia. Tetapi perancangan Allah itu hebat, tak sangka tiba-tiba saya dipanggil semula seminggu selepas tamat konsert prelude.

“Tetapi saya faham kenapa ibu bertindak begitu. Mungkin dia belum nampak masa depan saya sebagai seorang penyanyi.

“Penyanyi dari Sabah pula belum ada yang betul-betul berjaya dan menyerlah ketika itu. Jadi timbul kerisauan tentang masa depan saya. Mujur bapa sentiasa menyokong minat saya dalam bidang seni. Dia yang suruh saya pergi uji bakat AF,” katanya.

Biarpun kerjaya nyanyian tidak konsisten selepas berbelas tahun, perkara itu bukan batu penghalang untuk Marsha terus mencuba nasib.

“Antara salah satu sebab saya teruskan juga kerjaya sini adalah kerana mahu buktikan kepada ibu saya boleh menjadi penyanyi yang berjaya satu hari nanti. Saya dah berdebat dengan ibu, takkan nak berhenti macam tu sahaja.

“Bohong kalau saya tak pernah rasa putus asa. Tetapi ada satu kedegilan dalam diri yang memaksa saya untuk terus mencuba.

“Lantaklah orang nak kata apa. Saya tetap terus mencuba dan mencuba. Orang kata macam syok sendiri. Tetapi syok sendiri benda yang kita buat dengan sepenuh hati.

“Dan, apa yang saya kecapi hari ini adalah berkat kesabaran, kesungguhan dan doa yang tidak putus-putus,” ujarnya.

Kongsinya lagi, ‘turning point’ dalam kerjaya nyanyiannya berlaku ketika dinobatkan sebagai naib juara AJL36.

“Momen dalam AJL36 antara yang saya tak boleh lupa. Ketika itu saya rasa akhirnya Malaysia mula memandang bakat nyanyian saya. Mereka mula melihat saya sebagai penyanyi. Walaupun sebelum ini sudah banyak lagu yang saya hasilkan, tetapi tetap tak dapat perhatian yang saya rasa cukup untuk teruskan langkah dalam bidang nyanyian.

“Kemenangan menerusi lagu Cinta itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar untuk mengeluarkan karya baharu dan menerima lagu-lagu daripada komposer yang saya sanjungi.

“Biarpun ada yang bertanya adakah saya kini sudah berhenti berlakon dan fokus jadi penyanyi sahaja, jawapannya tidak. Saya tak pernah lupakan bidang lakonan, cuma saya belum rasa puas menjadi penyanyi sepanjang 20 tahun ini. Sebab itu kini saya lebih fokus kepada karier nyanyian. Masih ada banyak lagi yang saya mahu tonjolkan,” kongsinya.

 

Bangga Borneo mendunia

Hari ini, semakin ramai bakat dari Borneo khususnya negeri Sabah yang menyerlah dalam industri seni tempatan.

Perkara itu sedikit pun tidak membuatkan pelakon filem Jwanita ini berasa tergugat sebaliknya dia melihat perkembangan positif itu sebagai sesuatu yang sangat membanggakan.

“Bila saya berdiri sepentas dengan bakat-bakat daripada Sabah seperti di pentas AJL, saya rasa sangat bangga. Tahun sebelum ini bersama kumpulan K-Clique, tahun ini bersama Ryenald Guntabid dan Wani Kayrie pula.

“Bakat-bakat daripada Borneo kini mempunyai tempat dalam arus perdana dan bukan tertumpu di Sabah sahaja.

MARSHA lega apabila berjaya membuktikan kepada ibunya dia mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi tersohor tanah air lain.


Juri Borneo Rising

Lebih membanggakan, selepas dua dekad menjadi anak seni, Marsha akhirnya dipilih menjadi juri program nyanyian baharu terbitan Astro iaitu Borneo Rising.

Bergandingan bersama Noh Salleh dan Shila Amzah, Marsha menjadi wakil juri daripada Sabah dalam program yang akan berlangsung di Kota Kinabalu setiap minggu bermula 6 September ini.

“Sejujurnya saya gembira dan bersyukur kerana akhirnya negeri Sabah diberikan platform sebegini untuk mengembangkan bakat.

“Ketika waktu saya sertai AF pada tahun 2005 dulu keadaannya sangat berbeza. Agak susah untuk warga Sabah pergi ke sesi uji bakat kerana hanya dilakukan di Kota Kinabalu. Ada yang tak ada kenderaan nak pergi uji bakat.

“Dengan adanya Borneo Rising, sesi uji bakat dilakukan di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak. Jadi lebih mudah untuk mereka yang tinggal di daerah-daerah lain untuk hadir ke sesi uji bakat.

“Kesemua 12 peserta yang dipilih juga hebat-hebat belaka. Tujuan utama program ini adalah untuk mencari penyanyi ‘power vocal’. Dari situ kita sudah boleh agak macam mana kekuatan setiap peserta nanti,” katanya.

Ditanya apa lagi yang ingin dicapainya sebagai penyanyi, Marsha berkata, dia berharap satu hari nanti dapat beraksi dalam konsert solonya sendiri serta ke pentas AJL menerusi lagu etnik Sabah bersama rakan duetnya Velvet Aduk.

“Kalau cakap fasal impian sebenarnya banyak. Antaranya, saya ingin ada konsert solo seperti rakan-rakan penyanyi lain.

“Selain itu, saya berharap dapat bawa lagu etnik Sabah bersama sahabat karib saya, Velvet ke pentas AJL. Ini akan jadi satu kebangaan terbesar saya sebagai anak jati Negeri Di Bawah Bayu,” katanya penuh berharap. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok