MAHLIGAI yang dibina sudah lama berkecai, namun bala hutang ratusan ribu ringgit ‘peninggalan’ bekas suami kini menghantui hidup pelakon Aprena Manrose apabila menjadi mangsa buruan pemiutang dan berdepan gangguan ugutan dalam media sosial.
Lebih menyebalkan, dramatis berusia 33 tahun itu mengakui tidak tahu-menahu tentang urusan pinjaman wang membabitkan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, merayu agar pihak terbabit berhenti mencari melibatkan dirinya dengan hutang Mohd. Afiq memandangkan mereka sudah tidak lagi mempunyai sebarang ikatan.
“Saya berharap sangat kepada orang-orang yang dia pernah berhutang, tolonglah jangan cari saya lagi sebab saya sudah tiada kena-mengena.
“Saya tidak terlibat. Kalau boleh, tolong cari dia dan keluarganya. Saya minta tolong sangat.
“Perkara ini saya perlu suarakan juga kerana tidak mahu kalian ingat saya bersubahat. Sumpah demi Allah SWT, saya tidak tahu apa-apa,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi kolaborasinya bersama Beauboss, baru-baru ini.
Disebabkan hutang bekas suaminya itu, Aprena mendedahkan dia turut menerima mesej berbaur ugutan menerusi media sosial, namun memilih untuk tidak memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Mengulas mengenai jumlah keseluruhan hutang berkenaan, dia mengakui tidak mengetahui angka sebenar tetapi tidak menolak nilainya mencecah ratusan ribu ringgit.
“Saya tidak tahu jumlah sebenar tetapi orang yang mencari dan memberitahu saya itu memaklumkan nilainya mungkin mencecah ratusan ribu ringgit. Saya tidak mahu tersalah cakap.
“Mereka mula mencari saya selepas bercerai. Sebelum berpisah dahulu memang ada saya maklumkan kepadanya tetapi selepas bercerai saya sudah tidak berkomunikasi dengan dia, jadi dia tidak tahu mengenai hal ini (diburu),” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aprena memberitahu dia turut hadir ke mahkamah baru-baru ini bagi meneruskan prosiding tuntutan nafkah yang didakwa tidak dilunaskan oleh bekas suaminya.
“Saya ke mahkamah untuk membuat tuntutan nafkah sebagai hak seorang isteri ketika kami masih berkahwin dahulu.
“Buat masa ini dia lawan balik tetapi saya faham mungkin dia mahu mencari kata sepakat mengenai amaun yang dipersetujui.
“Harapnya dia permudahkan urusan ini. Saya tahu dia seorang yang bertanggungjawab dan boleh beri kerjasama, insya-Allah,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 sebelum mengumumkan perceraian mereka pada Jun tahun lalu. – HIBGLAM

