KUALA LUMPUR – Pelakon dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Francisca Luhong James Jun tahun depan.
Keputusan itu menyusul selepas Hans melamar Francisca yang juga model dan bekas Miss Universe Malaysia 2020 ketika mereka berada di Paris, Perancis, beberapa minggu lalu.
Menurut Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, 55, lamaran tersebut merupakan kejutan buat Francisca kerana wanita itu tidak mengetahui perancangannya untuk melamar di kota romantis berkenaan.
“Saya cuma beritahu dia, esok kita ke lapangan terbang,” katanya ketika ditemui selepas program MeleTOP, malam tadi.
Selepas melamar dan mengikat tali pertunangan di Paris, Hans merancang untuk ke Kuching, Sarawak, pada Januari depan bagi mengadakan majlis pertunangan mengikut adat Iban bersama keluarga Francisca.
Pasangan itu juga akan menghadiri kursus perkahwinan mengikut agama yang dianuti mereka sebagai persediaan sebelum disatukan.
Bagi meraikan hari bahagia itu, Hans dan Francisca merancang mengadakan dua majlis perkahwinan, masing-masing di Kuala Lumpur dan Kuching.
Mengimbas kisah perkenalan mereka, Hans berkata, dia dan Francisca sudah mengenali antara satu sama lain sejak tujuh tahun lalu, namun hubungan mereka mula menjadi lebih rapat pada tahun ini.
Sepanjang tempoh mengenali Francisca, Hans mendapati mereka mempunyai persamaan dari segi cara pandang terhadap kehidupan.
Malah, dia turut tertarik dengan sikap Francisca yang mudah mesra dengan ahli keluarganya, termasuk anak-anak saudaranya.
“Saya teruja dan gembira kerana sudah bertemu cinta hati serta wanita yang ingin saya habiskan hidup bersama,” katanya.
Terdahulu, Hans mengejutkan ramai apabila mendedahkan berita lamarannya menerusi hantaran foto bersama Francisca berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Instagram pada Isnin lalu. – HIBGLAM

