“DIDA (panggilan terhadap Fazley) terlalu sempurna. Maksud saya, susah nak cari salah silapnya terutama apabila melihat cara dia menjaga dan melayan mama.”
Demikian perkongsian anak usahawan Datuk Seri Vida iaitu Cik B yang mengakui tidak menemui sebarang kekurangan pada bakal bapa tirinya, Datuk Fazley Yaakob.
Menurut Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, dia cuba mencari kesalahan Fazley sebelum ini kerana ingin menghalang ibunya berkahwin lagi, namun kekasih ibunya itu disifatkan sebagai lelaki sempurna.
“Sejujurnya, Dida memang baik tetapi tidak tahu mengapa saya yang ada masalah untuk percaya. Mungkin sebab darah muda cuma tak boleh salahkan faktor itu juga.
“Asalkan mama bahagia, saya pun bahagia. Sebelum ini saya memang mencari salah silap Dida untuk membuktikan kepada mama supaya tidak mengahwininya.
“Tapi, cara Dida jaga mama bukan seperti pasangan lain. Mama dilayan ibarat puteri, pakaikan kasut seperti Cinderella,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis lamaran yang dilakukan di KLCC semalam.
Dalam pada itu, Cik B mengakui mengambil masa untuk berdamai dengan diri sendiri sebelum akhirnya memberi restu terhadap hubungan Vida dan Fazley.
“Walaupun sebelum hari ini (semalam), saya bergelut dengan perasaan sendiri mengenai situasi keluarga ini tetapi asalkan mama bahagia, saya akan rasa benda sama.
“Semua orang perlukan pasangan dalam hidup masing-masing,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun ada berpesan kepada ibunya agar sentiasa menjaga emosi dan tidak membiarkan sebarang masalah berkaitan hubungan cinta merosakkan kehidupan sendiri.
“Mama lebih handal daripada saya, jadi dia tahu menjaga emosinya.
“Cuma saya pernah cakap padanya yang saya beri mama kebebasan untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja tetapi saya minta satu perkara saja.
“Kalau sesuatu berlaku dan hubungan itu tidak berjalan seperti diharapkan, saya tak mahu mama terluka, kecewa atau mengalami kemurungan. Itu paling saya enggan tengok, yang lain okey,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cik B berkata, dia tidak meletakkan syarat kepada Fazley untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
“Syarat saya mudah sahaja, buat mama bahagia, sediakan keperluan dan bantu dia berniaga.
“Saya juga nak ucapkan tahniah kepada Dida kerana usaha yang dilakukannya untuk lamaran benar-benar di luar jangkaan saya.
“Saya seorang yang sangat memilih apabila membabitkan soal calon ayah baharu, tetapi saya tidak sangka Dida yang bukan saja ada rupa, pandai mengaji, masak serta berduit sanggup melakukan semua ini,” tuturnya.
Semalam, Fazley mengejutkan negara apabila tampil membuat kejutan romantis dengan melamar usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) secara siaran langsung di atas pentas Konsert Tiktok 11.11 Mega Syok di sini.
Lamaran dalam sebuah konsert yang disiarkan menerusi TikTok Live itu diserikan dengan persembahan sebanyak 1,200 buah dron membentuk mesej ‘nak duduk Ipoh ke KL?’ dan ‘will you marry me’, pemberian cincin serta penglibatan anak-anak kedua-dua belah pihak.
Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada gaya ikonik Vida kerana gemar memakai mahkota.
Kejutan lamaran tersebut juga turut mendapat restu empat orang anak Fazley dan dua cahaya mata Vida.
Sebelum itu, hubungan mereka mula rapat selepas menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2). – HIBGLAM ONLINE

