BUKAN peminat nombor satu XPDC di sini, namun satu perihal harus diakui, jenama band tersebut mempunyai pengikut setia tersendiri sehingga ke hari ini.
Perkara tersebut dibuktikan pada konsert Headbang Live & Loud XPDC Kita Peng Yu (KPY) di Odeon KL yang berlangsung malam minggu lalu.
Berpusu-pusu peminat kumpulan muzik ‘keras’ terbabit membanjiri venue konsert.
Tidak mengenal jantina dan beza usia, ada lelaki yang berambut ikal panjang dengan jeans ketat bersepatu jenis kanvas bertapak tebal. Tidak kurang, wanita berjiwa kental walaupun bertudung, itu tidak bermakna mereka tidak layan muzik XPDC.
Persembahan bermula kira-kira pukul 8.45 malam dengan segmen pertama ‘metal’ yang menghimpunkan lagu-lagu ‘deepcut’ termasuk Hamba Abadi, John Jenin, Pelesit Mata Sebelah dan Senapang Patah (turut menampilkan Yan dan Zua).
Tak kenal usia, jantina
Turut berkumandang dalam segmen terbabit ialah lagu Tak Nak Jadi Soh Chai. Sebagai seseorang yang tergolong dalam kalangan Generasi Y, penulis agak lazim dengan karya terbabit yang popular sekitar tahun 1997.
Di satu corner atau sudut di tingkat bawah (zon standing), ramai penonton tidak kira latar usia – mungkin ada yang sudah berstatus ‘bapak-bapak’ dengan kumpulan masing-masing headbanging dengan cara mereka.
Bukan bermakna mereka hilang pedoman tetapi mungkin itu sahaja malam ‘bahagia’ sebelum mereka menyambung kembali rutin lazim bekerja atau menyarung jersey seorang bapa keesokan harinya.

Berganjak ke segmen ‘tribute’, penulis lebih dekat dengan karya yang didendangkan. Antara yang dimainkan penuh dedikasi termasuklah lagu Titian Perjalanan.
“Assalamualaikum. Boleh menyanyi bersama saya? Saya percaya sebahagian di sini adalah cerita-cerita indah arwah abang saya,” kata Syed Ali Syed Ibrahim.
Tribute
Syed Ali atau Ali Baiduri yang juga adik Allahyarham Mael ditampilkan khas dalam segmen tribute untuk arwah pada malam terbabit.
Dia kelihatan tenang, tetapi sebak ketika menyampaikan dua lagu termasuk Hentian Ini yang turut sama diiringi nyanyian beramai-ramai penonton.
Malah, persembahannya mendapat tepukan gemuruh sekitar 1,200 peminat yang hadir sebagai pembakar semangat buatnya.
Suaranya seakan mirip arwah abangnya menimbulkan perasaan sebak dalam kalangan peminat, tambahan pula visual di belakang pentas memaparkan gambar bekas vokalis XPDC terbabit.

Allahyarham Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim meninggal dunia akibat sesak nafas pada 27 April 2023.
Syed Ali yang menetap di Muar, Johor mengakhiri persembahannya dengan ungkapan kata-kata yang sangat meninggalkan dampak.
“Terima kasih kepada anda semua. Begitu juga saya, memang di antara tujuan saya adalah untuk menghampiri orang-orang yang pernah berada dalam keindahan perjalanan hidup abang saya.
“Terima kasih lagi sekali,” katanya dengan disusuli tepukan dan sorakan audiens.
Sementara itu, XPDC KPY tampil penuh bertenaga menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popular antaranya Selendang Merdeka, Impian Seroja dan Lagu Dari Aku.
Penampilan Yan Lefthanded sebagai pemain bass undangan menerusi beberapa lagu dan Jatt Ali menerusi segmen metal 1960-an menambahkan lagi kemeriahan konsert ini.
