PELAKON Fatin Afeefa menafikan dakwaan sanggup membuka tudung semata-mata mahu menjayakan filem Bisikan, sebaliknya menjelaskan penggambaran naskhah tersebut dilakukan enam tahun lalu, sebelum dirinya berhijab.
Menurut Fatin atau nama lengkapnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, 31, dia sudah menjangkakan reaksi sedemikian sebaik sahaja treler filem berkenaan ditayangkan, malah menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada netizen yang mempersoalkan penampilannya.
“Memang ada yang DM dan tuduh saya sanggup buka tudung semata-mata untuk berlakon filem. Saya tidak balas sebab saya rasa mereka akan faham sendiri.
“Penggambaran filem ini dilakukan enam tahun lalu dan saya tidak boleh menghalang filem ini daripada ditayangkan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem Bisikan, semalam.
Jelas Fatin, perubahan penampilan selepas berhijab bukan alasan untuk mengetepikan komitmen yang sudah dipersetujui, apatah lagi mengambil kira usaha seluruh produksi dalam menjayakan filem berkenaan.
“Kita sudah tandatangan kontrak dan perlu menghormati produksi, kru serta semua yang terlibat. Tidak mungkin saya mahu memberitahu penerbit supaya tidak menayangkan filem ini hanya kerana saya sudah bertudung.
“Saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang sudah diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Tambahnya, kesediaan menghadiri promosi filem tersebut juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab profesionalnya, meskipun menyedari penampilannya tanpa tudung mungkin mengundang pelbagai reaksi.
“Saya percaya akan ada yang bercakap, tetapi itu masa lalu saya. Sekarang saya buat promosi pun kerana menjalankan tanggungjawab sahaja.
“Saya rasa tidak perlu menjelaskan perkara sama berulang kali kerana kalau tengok Instagram, sudah hampir empat tahun juga saya bertudung,” jelasnya.
Bagaimanapun, ibu kepada beberapa orang anak itu tidak menafikan berasa janggal dan malu apabila melihat semula penampilannya tanpa tudung di layar perak.
“Saya rasa sangat janggal. Tengok diri sendiri sampai terdetik, ‘Ya Allah, aku ke itu?’ Memang malu sendiri.
“Tetapi saya terima kerana lakonan merupakan perkara yang saya lakukan sejak kecil dan pernah menjadi sumber rezeki buat saya serta anak-anak,” tuturnya.
Mengulas kemungkinan berdepan kecaman berterusan selepas filem Bisikan ditayangkan, Fatin memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan negatif netizen.
“Saya tidak buat apa-apa pun kena kritik. Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak pernah ambil hati.
“Netizen cakap, kita senyum sahaja. Cakaplah apa yang nak dicakap, nanti penat, diamlah,” katanya.
Filem Bisikan arahan Opie Zami yang turut dibintangi Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Altimet dan Puteri Rayyana bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 November ini.
Dalam perkembangan lain, Fatin yang sudah bersara daripada dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga dengan Aliff Awang pada 2022 mengakui masih menerima tawaran berlakon.
Bagaimanapun, dia memilih untuk menolak secara baik demi menghormati permintaan suami selain mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan membesarkan anak-anak. – HIBGLAM

