Diva M kini Divo M, taja Gegar Vaganza Fantasia

KEMBALI menggegar, program popular Gegar Vaganza Fantasia (GVF) bakal ditaja secara rasmi oleh jenama penjagaan rambut, HEADS Professional.

Akan memberikan tatarias terbaik untuk para peserta, kerjasama itu turut menyaksikan usahawan penjagaan rambut, Mohd Muzakir yang sebelum ini dikenali sebagai Diva M, tampil dengan identiti baharu sebagai Divo M selepas mengumumkan pertukaran nama dalam sebuah program hiburan baru-baru ini.

Pengumuman tersebut sekali gus membuka lembaran baharu buat Divo M apabila jenamanya diperkenalkan sebagai rakan rasmi program berkenaan menerusi gelaran Rakan Gaya Rambut GV Fantasia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemunculan Divo M dalam GV Fantasia bukan sekadar membawa jenama penjagaan rambut, malah memberi peluang kepadanya berkongsi kepakaran dalam bidang dandanan menerusi segmen khas yang bakal memaparkan persediaan penampilan setiap peserta sebelum beraksi di pentas.

Menerusi segmen Rahsia Rambut WOW!, Divo M akan membawa penonton menyelami proses penggayaan rambut peserta, bermula daripada persediaan awal, pemilihan gaya bersesuaian sehinggalah sentuhan akhir sebelum mereka membuat persembahan.

Segmen tersebut turut memberikan peluang kepada penonton melihat hasil penggayaan rambut peserta ketika beraksi, selain mendapatkan demonstrasi ringkas serta tip penjagaan rambut yang boleh dipraktikkan dalam rutin harian.

Bukan itu sahaja, kerjasama berkenaan turut merangkumi sesi penggayaan rambut bersama penonton di dewan sebelum konsert terpilih, selain demonstrasi dan sesi soal jawab berkaitan penjagaan rambut bersama Divo M menerusi Checkout Live di TikTok Gempak.

Bagi Divo M, penglibatannya dalam GV Fantasia mempunyai makna tersendiri kerana dia melihat persamaan antara peluang yang diberikan kepada penyanyi untuk kembali menyerlah dengan ruang baharu yang diterimanya dalam membina identiti peribadi.

Menurutnya, pentas GV Fantasia menjadi platform terbaik untuknya memperkenalkan kemahiran serta pengalaman yang dikumpul sepanjang berkecimpung dalam bidang penjagaan rambut.

Dalam pada itu, minat Divo M terhadap dunia dandanan rambut sebenarnya bermula sejak kecil apabila mendapat galakan ibunya untuk membuka salun pertama di kampung sebelum mengembangkan perniagaan tersebut secara berperingkat.

Selepas 13 tahun berniaga, dia berjaya membangunkan perniagaan salun dan penjagaan rambut bersama pasukannya, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut sebagai asas dalam memahami keperluan rambut serta kesesuaian gaya seseorang.

Malah, kemahiran yang dimilikinya turut dimanfaatkan untuk membantu masyarakat apabila dia bersama pasukannya pernah menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kira-kira 40 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras dan Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras.

Menerusi identiti baharu sebagai Divo M serta tanggungjawab bersama HEADS Professional dalam GV Fantasia, dia berharap peluang tersebut dapat membuka lebih banyak ruang untuk berkongsi kepakaran, mengembangkan jenama dan terus menyumbang kepada masyarakat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok