Amma dalam video TZA, Eagaivalli rupanya legenda seni Tamil

Di sebalik watak Amma yang mencuri perhatian dalam video sambutan Deepavali bersama Tengku Zafrul, tersimpan perjalanan panjang seorang anak seni veteran yang banyak menabur bakti dalam industri seni Tamil tempatan.

Figura dimaksudkan ialah Kalaimamani Eagaivalli, 88, yang bukan asing dalam dunia seni masyarakat India di Malaysia, malah pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Malaysian Indian Cine Awards 2019.

Kemunculan Eagaivalli dalam video berkenaan bukan sahaja mengundang perhatian ramai, malah secara tidak langsung mengimbau sumbangan besar beliau terhadap perkembangan industri kreatif masyarakat India di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Video yang memaparkan pertemuan dua individu daripada generasi dan latar belakang berbeza itu turut membawa mesej tentang kepelbagaian budaya, penghargaan terhadap warisan serta semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Deepavali.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan jalan cerita video tersebut, malah ada yang mengakui tidak menyangka wanita yang membawa watak Amma itu merupakan Eagaivalli.

Dalam masa sama, gelagat Tengku Zafrul turut mencuri perhatian apabila ramai memuji penampilannya yang bersahaja dan lakonannya yang mencuit hati.

Malah, ruangan komen turut dibanjiri usikan nakal netizen yang berseloroh mahu meminjam cermin mata milik Tengku Zafrul.

Pinjam spek TZ (Tengku Zafrul). Nak pakai pergi rumah terbuka Deepavali.

“Nice one. Sekarang, tolong bagi mereka pinjam spek,” demikian antara komen yang ditinggalkan.

Video berkenaan boleh ditonton menerusi akaun media sosial rasmi Tengku Zafrul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok