‘Apa salah saya? tiada lagi permohonan maaf selepas ini’

PELAKON dan model Sharifah Haneesya Hanee meluahkan rasa kesal apabila kesilapan lampau yang dilakukannya hampir sembilan tahun lalu masih terus membelenggu hidupnya sehingga ke hari ini.

Pemilik nama penuh Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 26, itu berkata, sepanjang bergelar anak seni, dia sanggup tebalkan muka hadir ke pelbagai program audio siar semata-mata untuk memohon kemaafan daripada masyarakat.

“Saya buat silap hampir sembilan tahun lepas tetapi sampai hari ini masih masuk audio siar (podcast) sana sini untuk tebus kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap kali masuk audio siar, saya akan dapat mesej daripada netizen seperti ‘lepas tengok podcast, saya rasa awak betul menyesal, jadi saya maafkan awak’.

“Saya sampai tekad dan tak kisah berapa kali pun kena tebalkan muka masuk audio siar serta minta maaf. Itu sahaja cara yang boleh tebus kesalahan saya,” katanya dalam satu hantaran Threads.

Melihat situasi yang berlaku di sekeliling, dia menyedari bahawa tindakannya memohon maaf atas kesilapan lalu hanya membuka ruang kepada orang lain untuk terus mengambil kesempatan terhadap dirinya.

“Tapi lepas saya tengok isu yang sedang berlaku di sekeliling, baru sedar betapa bodohnya saya walaupun selepas bertahun-tahun saya masih biarkan orang ambil kesempatan atas situasi sendiri.

“Saya baru sedar, tak perlu minta maaf lagi. Sekali sudah cukup. Bila fikir balik apa salah saya pada kamu semua?

“Dosa minum saya yang tanggung, yang nak menjawab dengan Tuhan nanti saya, yang mahkota kena tarik saya. Hilang duit hadiah RM10,000 juga saya.

“Tapi kenapa saya nak kena minta maaf pada semua orang? Saya tak kacau atau hina orang,” katanya lagi.

Haneesya juga menegaskan dia tidak pernah berniat jahat terhadap mana-mana individu lain terhadap dirinya selama ini.

“Kesalahan saya tak melibatkan sesiapa.

“Saya tidak membahayakan sesiapa, jadi kenapa saya dihukum seperti saya merampas suami orang? Seperti saya membunuh seseorang atau mensabotaj kerjaya seseorang.

“Tiada lagi permohonan maaf daripada saya selepas ini,” ujarnya.

Terdahulu, nama Haneesya kerap mengenai kisah kelab malam membabitkan dia dan beberapa bekas peserta sebuah program pencarian bakat sekitar lapan tahun lalu sehingga gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 ditarik balik daripadanya.

Rentetan itu, dia dalam beberapa kenyataan dan program memohon maaf atas khilaf yang berpunca daripada diri sendiri.

Meski sudah kerap meminta maaf, dia tetap dihujani dengan pelbagai kecaman termasuk diskriminasi warna kulit dan kurang menerima tawaran lakonan. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok