Tolak tawaran lakonan RM100,000 demi kekal berhijab – Noor Kumalasari

BIARPUN ditawarkan bayaran lumayan melebihi RM100,000, seniwati Noor Kumalasari nekad menolak peluang berlakon dalam sebuah drama bersiri televisyen selepas pihak produksi meletakkan syarat supaya dia membuka tudung.

Noor Kumalasari, 70, berkata, keputusan mempertahankan prinsip berhijab bukan sesuatu yang mudah, terutama ketika baru berhijrah, namun percaya rezeki setiap insan sudah ditentukan Allah SWT.

Menurut bintang filem Mira Edora itu, dia tidak sanggup menggadaikan prinsip yang dipegang semata-mata demi wang ringgit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika mula-mula berhijab, memang banyak cabaran. Saya pernah menerima tawaran berlakon drama bersiri televisyen bernilai lebih RM100,000, tetapi terpaksa menolaknya.

Pihak produksi meminta saya membuka tudung untuk watak tersebut. Saya terus beritahu bahawa saya minta maaf kerana tidak akan berbuat demikian walau apa pun tawarannya. Saya yakin rezeki datang daripada Allah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam bersempena Festival Filem Malaysia (FFM) di sini, semalam.

Lebih menarik, ketegasan pendiriannya itu turut menjadi rujukan seorang pelakon wanita muda yang berdepan dilema sama selepas mengambil keputusan untuk berhijab.

Kata Noor Kumalasari, pelakon berkenaan pernah mendapatkan pandangannya sebelum dia membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolak tawaran yang memerlukan dirinya membuka tudung.

Saya beritahu dia, terpulang kepada dirinya untuk membuat keputusan. Kalau sudah berhijab dan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT, sanggupkah kita mengorbankan prinsip itu hanya kerana wang?

“Bagi saya, rezeki itu milik Allah. Saya sendiri tidak akan sesekali membuka tudung demi apa-apa tawaran.

“Akhirnya, dia mengambil keputusan sama seperti saya. Walaupun terlepas watak tersebut, sekurang-kurangnya dia berpuas hati kerana wang bukan segala-galanya jika dibandingkan dengan reda Tuhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Kumalasari mengakui masih menerima tawaran lakonan sehingga kini, namun tiada sedikit pun keinginan untuk kembali aktif dalam industri seni.

Malah, katanya, tawaran untuk menjayakan watak kecil dengan komitmen penggambaran hanya dua hingga tiga hari juga tidak mampu mengubah pendiriannya.

“Masih ada yang menawarkan saya berlakon. Mereka beritahu wataknya sedikit sahaja dan hanya memerlukan saya menjalani penggambaran selama dua hingga tiga hari.

“Namun, kalau Allah sudah menutup pintu hati, memang tiada langsung perasaan untuk kembali berlakon. Keinginan itu sudah tiada.

“Cuma, saya masih menonton drama televisyen dan filem-filem lama,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok