PERKAHWINAN merupakan ikatan suci yang diharapkan kekal hingga ke hujung nyawa. Namun, takdir dan jodoh merupakan rahsia Tuhan yang tiada sesiapa pun mampu menduga.
Ramai wanita menjerut rasa apabila bahtera rumah tangga yang dibina atas dasar cinta karam dilambung badai meski usia perkahwinan baru setahun jagung. Meski berat, itu aturan hidup yang mereka harus lalui dan hadam.
Ujian hidup tersebut turut dilalui beberapa selebriti wanita terkenal seberang yang terpaksa menggalas status janda pada usia muda.
Ayu Ting Ting
PENYANYI dangdut popular, Ayu Ting Ting pernah melalui perkahwinan singkat pada 2013 bersama pilihan hatinya, Henry Baskoro Hendarso.
Kebahagiaan yang dicari tidak bertahan lama apabila Ayu atau nama sebenarnya Ayu Rosmalina mengambil keputusan untuk bercerai pada 2014.
Hasil perkahwinan tersebut, dia dikurniakan seorang anak perempuan bernama Bilqis Khumairah Razak.
Sewaktu berpisah, usia pelantun lagu Alamat Palsu itu baru menginjak 22 tahun.
Sophia Latjuba
SEORANG lagi pelakon yang kekal mempesonakan walaupun meniti usia 50-an ialah Sophia Latjuba.
Pemilik nama lengkap Sophia Inggriani Latjuba itu juga tidak terlepas daripada mengalami kegagalan rumah tangga pada usia muda.
Onak duri rumah tangganya bersama Indra Lesmana yang dibina pada 1993 berakhir dengan perceraian sewaktu usianya baru mencecah 23 tahun.
Setakat ini, pelakon filem The 3rd Eye itu masih selesa hidup solo.
Wulan Guritno
PELAKON Wulan Guritno terkenal sebagai artis yang memiliki raut wajah yang sentiasa awet muda.
Dek kerana penampilan yang begitu mempesonakan serta menjaga bentuk badan, dia sering mendapat julukan sebagai ‘hot mom’ meskipun sudah mencecah usia 40-an.
Pernah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga, bintang filem Norma: Antara Mertua Dan Menantu itu bergelar janda pada usia seawal 19 tahun selepas bercerai dengan Attila Arius Syach.
Pernikahan mereka tidak bertahan lama kerana suaminya dikatakan seorang panas baran dan suka bertindak kasar.
Celine Evangelista
PADA 2012, pelakon Celine Evangelista berkahwin dengan penyanyi Dirly Idol.
Namun begitu, ikatan perkahwinan tersebut tidak bertahan lama apabila kedua-duanya memutuskan untuk bercerai pada 2013 dan ketika itu Celine baru berusia 21 tahun.
Pelakon yang terkenal menerusi sinetron Asisten Rumah Tangga itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Eleeya Xaviera Sompie serta mempunyai seorang anak angkat, Jemima Guri Clementine Sompie.
Selepas tiga tahun, Celine berkahwin kali kedua dengan aktor Stefan William.
Walau bagaimanapun, rumah tangga mereka sekali lagi terkandas di tengah jalan selepas dikurniakan dua anak lelaki.
Marshanda
PELAKON marshanda merupakan bintang filem dan sinetron terkenal kelahiran Jakarta pada 10 Ogos 1989.
Pemilik nama lengkap Andriani Marshanda itu mendirikan rumah tangga dengan Ben Kasyafani sewaktu usianya baru 21 tahun selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta.
Pasangan itu berkahwin pada 3 April 2011 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Sienna Ameerah Kasyafani pada 22 Januari 2013.
Namun, pelakon filem La Tahzan itu memfailkan perceraian terhadap Ben pada 23 April 2014 di Pengadilan Agama (PA) Jakarta Pusat ketika berusia 25 tahun.
Berlaku perselisihan faham yang berterusan dalam rumah tangga mereka sebelum keputusan berpisah diambil. – HIBGLAM
