BANGGA anaknya, Putri Raysha Jemyma meraih 10 A, pelakon Fasha Sandha mengakui terkilan kerana tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran permata hatinya.
Begitupun, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, menyalahkan diri sendiri apabila Jemyma yang kini berusia 11 tahun kurang menguasai dua lagi mata pelajaran.
“Saya bersyukur dia berjaya daparlt 10A. Tetapi untuk C dan D itu, saya salahkan diri sebab tidak dapat teman, ajar dan fokus temankan dia,” katanya dalam hantaran di Threads.
Begitupun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berazam untuk memberikan perhatian berganda kepada anak-anaknya untuk penggal akan datang.
“Syabas anak-anak ibu. Penggal selepas ini kita buat yang lebih baik. Ibu bangga dengan semua anak-anak ibu. Anak saya baru 11 tahun (Darjah Enam),” ujarnya.
Menerusi hantaran sama, Fasha tidak ketinggalan memaparkan kad laporan keputusan peperiksaan Jemyma sebagai tanda penghargaan terhadap usaha anaknya.
Dalam perkongsian lain, Fasha mendedahkan kesibukan yang membataskan masa dengan anak membuatkannya berasa kasihan untuk bertegas walaupun perkara membabitkan pelajaran.
“Saya salahkan kesibukan. Memang tak dapat nak menyinga (garang) sangat. Balik kerja saya jadi kucing parsi sebab sibuk di set tak jumpa anak-anak.
“Takkan balik nak menyinga dalam masa yang singkat. Apabila fikir semula, kadang-kadang jadi singa bagus untuk pelajaran anak-anak macam zaman Covid-19 dahulu. Banyak masa di rumah, anak-anak pun dapat semua A,” ujarnya.
Perkongsian tersebut turut meraih maklum balas positif netizen yang berkongsi pengalaman sama dalam memantau pelajaran anak di rumah.
“Setuju! Menyinga untuk kebaikan. Kadangkala ada budak memang perlukan ‘kekerasan’ untuk membimbing, tapi bergantung juga kepada anak-anak,” tulis seorang pengguna Threads.
Jemyma merupakan anak hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram atau Jejai. Mereka turut dikurniakan Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram, 13 tahun.
Manakala perkongsian hidup dengan pelakon, Aidil Aziz, pasangan terbabit mempunyai seorang anak perempuan, Aisha Amaira, enam tahun. – HIBGLAM
