AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bakal menghimpunkan penggiat teater dari lima negara serantau menerusi Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai ini di Kampus Aswara.
Festival anjuran Fakulti Teater Aswara itu membawa tema ‘Tanda. Temu. Tamu’ dengan menampilkan pelbagai pengisian yang mengangkat seni teater kontemporari serta memperkukuh hubungan budaya Nusantara.
Program tersebut dijangka menjadi medan pertemuan tokoh teater, penggiat seni dan anak muda kreatif dari rantau ini untuk berkongsi idea, pengalaman serta meneroka pendekatan baharu dalam dunia seni persembahan.
Majlis perasmian festival akan berlangsung pada 16 Julai di Dewan Orkestra Aswara dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Sepanjang festival berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk Bengkel Teater yang dikendalikan seniman serantau, sesi Work in Progress yang memperlihatkan proses kreatif menghasilkan karya baharu, selain persembahan Showcase oleh kumpulan teater tempatan dan antarabangsa.
Turut menjadi tarikan ialah Kedai Cerita Runcit, sebuah siri monodrama berkonsep site-specific yang membawa pengalaman menonton teater dalam suasana lebih santai dan dekat dengan masyarakat.
Menurut Aswara, penganjuran festival itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam memperkasa pendidikan seni serta memacu pembangunan industri kreatif negara.
Festival berkenaan juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi pengukuhan pelancongan budaya, selain membuka ruang lebih luas kepada seni tempatan untuk terus dikenali di peringkat antarabangsa.
Semua aktiviti FTA 2026 adalah percuma kecuali persembahan Showcase yang dikenakan bayaran tiket RM10. Orang ramai disaran membuat tempahan awal menerusi platform Cloudjoi berikutan kapasiti tempat yang terhad. – HIBGLAM
