Ubah wajah, 5 selebriti tak malu buat pengakuan

DALAM dunia hiburan, rupa paras yang sempurna sering dianggap aset utama buat seseorang selebriti untuk terus kekal relevan.

Demi memenuhi tuntutan visual tersebut, melakukan prosedur kosmetik atau pembedahan plastik kini bukan lagi satu perkara asing di sebalik tabir dunia glamor.

Ramai selebriti memilih untuk mengunci mulut demi menjaga imej dan mengelakkan kecaman masyarakat yang masih memandang serong isu berkenaan.

Begitu pun, senario itu mula berubah apabila ada segelintir artis terkenal memilih untuk bersikap terbuka, lebih berani dan matang.

Berikut merupakan antara barisan selebriti terkenal Korea Selatan yang bersikap jujur dan tidak janggal berkongsi pengalaman mereka melakukan pembedahan plastik.

  • Kwanghee (ZE:A)

PENYANYI Kwanghee terkenal sebagai ikon pembedahan plastik kerana sering menjadikan kisahnya sebagai bahan jenaka dalam pelbagai program realiti. 

Dedah Kwanghee, 37, ibunya yang menyarankan agar dia melakukan pembedahan kosmetik untuk tampil kacak jika mahu bergelar artis. 

Dia telah melakukan prosedur pada bahagian hidung, mata, dahi dan rahang, sehingga terpaksa berehat sepenuhnya selama setahun sebelum sedia bergelar anak seni.

Malah, dia mendedahkan bahawa satu-satunya bahagian wajah yang tidak ‘disentuh’ doktor adalah tulang pipinya.

  • Minzy 

BEKAS ahli kumpulan 2NE1, Minzy pernah menjadi perbualan hangat peminat apabila penampilannya kelihatan semakin cantik dan berbeza. 

Enggan membiarkan spekulasi liar berpanjangan, agensi Minzy ketika itu mengesahkan pemilik nama sebenar Gong Min-ji itu menjalani pembedahan kosmetik pada bahagian hidung. 

Minzy kemudian menjelaskan bahawa pembedahan tersebut sebenarnya dilakukan bersama rawatan perubatan untuk menyembuhkan penyakit rinitis (masalah pernafasan dan hidung tersumbat) yang dihidapinya sejak sekian lama.

  • Jessi 

PENYANYI rap solo, Jessi sangat terkenal dengan personalitinya yang lantang dan jujur. 

Pemilik nama asal Jessica Hyunju Ho itu secara terbuka mengaku dalam beberapa program televisyen bahawa dia pernah menjalani pembedahan pada bahagian mata, hidung, serta implan payudara. 

Pada mulanya wanita berusia 37 tahun itu berasa menyesal selepas melihat hasilnya yang kelihatan seperti ‘raksasa’ pada waktu itu. 

Namun kini dia lebih menyayangi dirinya dan mempertahankan tindakannya dengan menegaskan itu adalah hak peribadinya dan menggunakan wang sendiri.

  • JooE

TERKENAL dengan personaliti ceria dan penuh tenaga, penyanyi JooE mengejutkan peminat apabila mengaku pernah melakukan pembedahan hidung sebelum memulakan debut bersama kumpulan Momoland.

Dalam program Radio Star, pemilik nama sebenar Lee Joo-won secara berseloroh mendedahkan dia menggunakan tulang rawan dari telinganya untuk meninggikan hidung. 

Dia juga memaklumkan pada awalnya tiada sesiapa menyedari perubahan tersebut walaupun sudah melakukan pembedahan.

  • Park Min-young 

PELAKON Park Min-young merupakan antara sebilangan kecil aktres Korea yang sangat terbuka mengenai penampilannya. 

Dia pernah dituduh netizen menyembunyikan wajah asalnya demi kelangsungan karier. 

Enggan membiarkan spekulasi liar berpanjangan, Min-young tampil membuat pengakuan berani dia pernah melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan kelopak mata ketika zaman persekolahan atas keizinan ibunya demi meningkatkan keyakinan diri. 

Pengakuan jujurnya meraih pujian kerana jarang aktres gred A Korea bersikap terbuka dan berani berterus-terang.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok