Selebriti wanita terpalit tuduhan pakai susuk

KEHIDUPAN sebagai seorang selebriti pastinya tidak dapat lari daripada perhatian masyarakat yang sentiasa menilai setiap sudut penampilan mereka, daripada hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. 

Lebih-lebih lagi dalam industri hiburan Indonesia yang penuh dengan persaingan sengit, memiliki rupa paras yang menawan, bentuk badan idaman (body goals), serta wajah yang kekal awet muda seolah-olah tidak dimakan usia sememangnya menjadi satu kelebihan yang cukup luar biasa.

Bagaimanapun, kelebihan dan kecantikan yang dimiliki segelintir selebriti adakalanya mengundang padah apabila sering kali disalah erti segelintir pihak. 

Gara-gara penampilan yang terlalu sempurna, beberapa nama besar dalam industri seni Indonesia terpaksa berdepan dengan tuduhan berat dan fitnah meluru kononnya mereka menggunakan jalan pintas menerusi amalan mistik seperti pemakaian susuk pengasih demi mempertahankan populariti serta memikat lawan jenis.

Berikut antara empat wanita popular Indonesia yang pernah terpalit dengan dakwaan memakai susuk. 

  • Ayu Ting Ting 

PENYANYI dangdut Ayu Ting Ting pernah menjadi bualan hangat selepas dituduh menggunakan susuk untuk memikat lelaki. 

Dakwaan tersebut dikuatkan lagi apabila seorang pengamal perubatan mistik seolah-olah mengiyakan tuduhan berkenaan. 

Enggan berdiam diri dengan tuduhan melulu, Ayu atau nama penuhnya Ayu Rosmalina segera membuktikan dengan memakan sate daripada lidi. 

Tindakan terbabit dilakukan bagi menyangkal spekulasi masyarakat yang mempercayai bahawa individu yang memakai susuk dilarang keras memakan sate terus daripada lidi. 

  • Inul Daratista

PENYANYI Inul Daratista turut menjadi antara selebriti yang tidak terlepas daripada tuduhan memakai susuk ekoran wajahnya yang kelihatan sentiasa awet muda walaupun usianya mencecah 47 tahun. 

Bagaimanapun, pelantun lagu Goyang Inul itu menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Inul menegaskan bahawa penampilannya adalah hasil daripada rutin penjagaan wajah yang konsisten serta amalan gaya hidup sihat. 

  • Angel Karamoy

PENAMPILAN pelakon dan penyanyi Angel Karamoy yang sentiasa kelihatan muda remaja serta bentuk badan idaman sering membuatkan dirinya dituduh menggunakan ilmu pengasih. 

Bagaimanapun, ketika disoal dalam sebuah program, pemilik nama lengkap Angelina Wilhelmina Karamoy, 39,  menolak dakwaan tersebut. 

“Ramai sangat yang cakap ‘jangan-jangan awak pakai benda (susuk)’. Tapi sebenarnya memang tidak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Yang Tak Terungkap. 

  • Dewi Perssik

MESKIPUN sudah berusia 40 tahun, penampilan penyanyi Dewi Perssik sentiasa memukau dalam televisyen mahu di belakang kamera. 

Situasi tersebut menyebabkan pemilik nama sebenar Dewi Murya Agung dituduh memakai susuk oleh seorang dukun. 

Bagaimanapun, pelantun lagu Indah Pada Waktunya itu tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan mendakwa dukun terbabit hanya ingin menumpang popularitinya. 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok