Terima kasih kerana jadi penyokong terbesar saya – Dr. Fie

“SAYA tahu bukan mudah nak melayan segala kerenah dan idea saya sepanjang persiapan ini tapi awak membuat seluruh perjalanan menjadi lebih manis.”

Demikian perkongsian personaliti media sosial popular, Dr. Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie yang meluahkan rasa terharu atas sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan suami, Kapten Amrul Nizar Anuar sepanjang persiapan perkahwinan.

Dr. Fie, 36, menitipkan penghargaan isitimewa buat suami yang tenang berdepan pelbagai cabaran semasa kesibukan menjelang hari bahagia mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat suami tersayang, terima kasih sebab sangatlah ‘sporting’ sepanjang perjalanan persiapan perkahwinan kita.

Saya tahu semuanya agak sibuk, penat dan kadang-kadang membebankan. Tapi awak tak pernah merungut apatah lagi bertekak dengan saya.

“Awak ikut saja apa yang saya dan keluarga rancang,” katanya dalam hantaran Threads.

Tambahnya, dia sangat menghargai suaminya yang memahami kerjaya serta minat mendalam terhadap dunia mencipta kandungan.

“Saya hargai sangat awak sertai saya buat konten, macam dah biasa buat.

Terima kasih sebab tak pernah buat saya rasa bersalah dengan kerja dan minat yang saya buat.

“Terima kasih sebab kekal tenang dan sabar melayan berjam-jam sesi video dan sesi fotografi saya. Dari satu sudut ke satu sudut, dari satu video ke satu video lain, awak tetap layan,” katanya lagi.

Mengimbas kenangan manis, pempengaruh itu turut terharu dengan gestur romantis bersahaja yang dilakukan suaminya ketika selesai akad yang disifatkan sebagai memori paling berharga.

“Paling saya hargai, terima kasih untuk saat-saat yang manis mengejutkan, awak memutar baju kahwin saya yang cantik itu.

Nampak macam ‘simple’ tapi percayalah momen macam itu sangat bermakna buat saya. Perkara-perkara kecil itu yang membuatkan semuanya terasa istimewa.

“Terima kasih kerana menjadi penyokong terbesar saya, pasangan saya dalam semua pengembaraan kecil dan sekarang suami saya. Saya sayang awak,” ujarnya.

Sebelum ini, Dr. Fie selamat bergelar isteri kepada usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar pada 1 November lalu.

Untuk rekod, Dr. Fie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Nubhan pada 29 Ogos 2015 sebelum pasangan itu disahkan bercerai talak dua pada Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok